NASIB BAIK KERETAKU KEMEK...
>> Monday, February 1, 2010
TANGGAL 27 JANUARI merupakan detik paling mengharukan buat diri cikgu. Kira-kira pukul 8.00 pagi, sewaktu menghantar anak-anak ke sekolah, cikgu telah terbabit dalam satu kemalangan dengan sebuah kereta Volvo yang dipandu laju masuk ke persimpangan padang golf di Tasik Puteri. Gagal mengelak, cikgu terlanggar bahagian belakang kereta itu. Akhirnya kereta cikgu kemek. Peristiwa ini menyebabkan cikgu dilanda trauma. Memang bengang masa tu. Mujurlah hati ini masih boleh bertenang. Selepas berbincang dengan pemilik kereta itu, dia bersetuju membayar ganti rugi sebanyak RM 600.00 bagi menampung kerosakan yang perlu diperbaiki. Selepas kejadian itu, cikgu bermuhasabah. Mungkin ada silapnya di sana-sini. Cikgupun mengirim wang ke kampung bagi membantu ibu bapa..entah mengapa kerinduan terhadap mak dan ayah mula menggamit... Cikgu cuba membaiki kereta malangnya kena tinggal pula. Tak bolehlah nak baiki, kereta hanya satu.
Hikmah kejadian ini rupa-rupanya...apabila petang berkenaan cikgu berkunjung ke sekolah tertentu untuk menjalankan kajian kes, cikgu dilayan sebegitu baik oleh pengurusan sekolah, berbeza dengan tanggapan sebelum ini.
Pada keesokannya, 28.1.10, cikgu membeli perabut tertentu untuk anak-anak yang bersekolah, serta rak buku. Pada 29.1.10 pula, cikgu memanggil Pak Imam di Desa Puteri bagi memasang lampu tangga dan tandas yang masih belum berpasang. Pak Imam tu pandai. Pada 30.1.10 pula, cikgu memanggil Pak Dollah membaiki tandas yang tersumbat sekian lama, iaitu di bilik anak-anak. Entah bagaimana semuanya berlaku bagaikan perancangan sistematik.
Rupa-rupanya hikmah semua ini, pada 31.1.10, cikgu menerima panggilan kecemasan daripada abang, bahawa ayah sakit. Cikgu pergi ke Pedas menjenguk ayah, rupanya ayah sedang dalam proses pemulihan selepas terjatuh motor dan baru keluar dari wad. Kemudian abang menyuruh cikgu membawa emak datang ke Rawang. Lalu ibu yang dikasihi bersama anak saudara yang sudah lama tidak berkunjung ke rumah cikgu di Rawang, datang sebagai tetamu istimewa. Bayangkan sekian lama tak dapat balik kampung kerana kesibukan belajar, ibu datang ke rumah cikgu. Inilah hikmah terindah di sebalik kemalangan itu.Dan pemasangan lampu, pembaikan tandas bagaikan sunatullah yang tersusun indah.
Gambar-gambar di bawah ialah gambar cikgu bersama
ibu tercinta, ibu bersama cucunya dan anak saudara, Shasha
sedang memangku Nur Kasih, sepupu kecilnya.



RENUNGAN:
Firman Allah bermaksud:
Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik kepada kamu (Al-Baqarah: 216).
Jadi jangan bencikan sesuatu yang pahit melanda kita, barangkali ada hikmah penuh tersembunyi. Ahmad bin Hanbal, pernah dipenjara dan dihukum dera, tetapi sebab itulah ia menjadi imam satu mazhab. Ibn Taimiyyah pernah dipenajara, namun ketika dipenjara dia mampu menghasilkan karya bermutu. As-Sarkhasi pernah dikurung di dasar perigi bertahun-tahun, tapi mampu menghasilkan buku 20 jilid. JK Rowling, seorang ibu tunggal yang miskin dan terpaksa tinggal di kabin, tetapi di situlah dia menghasilkan karya prolifik, Harry Porter.
0 comments:
Post a Comment