ADUHAI BANGSA MELAYUKU...

>> Sunday, February 8, 2009

SAJAK MELAYU OLEH DR USMAN AWANG (SASTERAWAN NEGARA)

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan. Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muaalaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan

Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

DEMIKIAN indah dan puitisnya sajak Usman Awang mengisahkan personaliti bangsa Melayu. Namun tragedi yang berlaku di negeri Perak, negeri yang pernah mencatatkan sejarah penentangan bangsa Melayu terhadap penajajahan yang begitu retorik sekali seperti kisah Maharajalela yang tega membunuh JWW Birch amat memedihkan hati dan perasaan saya sebagai umat Melayu Islam.

Tidak pernah terlintas di hati saya betapa umat Melayu begitu berani menderhakai Sultan hingga tega membuat sembah derhaka dan berhimpun berdekatan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar malah sanggup berbaring menahan kereta Raja Muda.

Ah! Sudah tentu ada perkara yang begitu menggusarkan sebahagian umat Melayu Perak hingga menyebabkan mereka berani melanggar titah dan melanggari Rukun Negara kedua, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Mungkin ada yang begitu peralihan kuasa yang berlaku di Perak dari PR kepada BN yang dirasakan tidak demokratik.

Namun walau apapun alasan hendak mengamuk, usahlah marahkan nyamuk kelambu dibakar hingga tega mencabuli salah satu tonggak Ketuanan Melayu, iaitu Raja Melayu. Mungkin ada yang berkata jika titah itu tidak adil, apa salahnya kita menongkah arus. Namun fikir-fikirkan apa kesannya. Jangan sampai orang Melayu beria-ia melawan raja, orang lain terkekeh-kekeh tertawa malah semakin berani mempersoalkan kedaulatan Raja Melayu. Apakah suatu hari nanti, jika keadaan ini tidak dibendung, kedaulatan Raja Melayu akan terus terhakis dan orang Melayu jadi pelarian di negara sendiri? Memetik kata Nabil, LU FIKIRLAH SENDIRI.

1 comments:

carnine March 2, 2009 at 5:46 PM  

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

Ini lah yang berlaku pada negeri Perak, Melayu Abd 21 telah membuka mata Melayu-Melayu yang layu. 51 tahun merdeka, Melayu asyik dengan retorik Ketuanan Melayu. Apa ertinya Ketuanan Melayu andainya bumi di pijak milik orang? Selama 51 tahun, siapakah Melayu yang menggadaikan bangsanya sendiri demi tembolok dan perut sendiri. LU KAJILAH SENDIRI.

Teknik Mencari Wang Percuma Di Internet.
Muat turun laporannya secara PERCUMA di sini !!

Pertanyaan




Form View Counter

About This Blog

Blog ini adalah milik Cikgu Esa Abd Samad. Blog mencatatkan aktiviti Cikgu Esa sebagai seorang kaunselor dan perunding motivasi.


Artikel Terkini

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP