BICARA MENTOR BERSAMA CIKGU ESA
>> Monday, August 11, 2008
SOALAN
Assalamualaikum Cikgu,
Saya Aisyah Nadirah. Saya pelajar Tingkatan 4. Pada bulan Mac 2008, saya diterima masuk SBP tetapi panggilan kedua. Di SBP saya adalah orang yang paling lemah, kerana keputusan peperiksaan pertengahan tahun saya paling teruk. Saya berasa malu sangat. Tapi, selepas itu, saya cuba baiki kelemahan diri dengan meminta pertolongan rakan-rakan yang lain. Tetapi saya tidak pandai untuk berkomunikasi dengan mereka. Saya berasa rendah diri kerana saya 'budak baru,' tidak pandai bergaul dan mempunyai perasaan malu yang sangat tebal. Cikgu saya harap cikgu dapat tolong saya untuk menyelesaikan masalah yang agak rumit bagi saya. Sekian, terima kasih.
Wassalam
Siti Aisyah Mohamed (Sya'ai),
Kemayan, Pahang.
Waalaikumussalam Sya'ai,
Perasaan rendah diri sememangnya mudah menyelubungi pelajar yang mengalami kegagalan dalam peperiksaan. Apabila gagal, kita akan berfikir betapa bodohnya aku, betapa lemahnya aku, betapa teruknya aku. Ini akan menyebabkan perasaan jadi rendah diri, rasa bersalah, rasa jadi lemah dan sebagainya.
Adik ada keinginan hendak keluar dan bangkit daripada masalah dengan berusaha memperbaiki diri, meminta pertolongan dengan rakan-rakan yang lain. Syabas kerana adik sebenarnya ada keinginan, kemahuan dan azam untuk merubah diri. Walaubagaimanapun sekali lagi kekangan fikiran melanda adik; adik berasa diri tidak bijak berkomunikasi, rasa rendah diri kerana 'aku budak baru,' tak pandai bergaul dan berasa amat malu.
Adik,
Jentik hati kecil adik dan tanya sedalam-dalamnya APAKAH SEBENARNYA YANG AKU MAHU? Kecemerlangan, kejayaan unggul dan mengatasi masalah kegagalan, bukan? Jika itu yang adik inginkan, cita-citakan, harapkan, tanya dan muhasabah diri adik; APAKAH yang adik LAKUKAN untuk mencapai kecemerlangan?
Adakah dengan terus membiarkan diri adik dalam kepompong rasa malu, rendah diri dan menganggap diri sebagai 'budak baru?' Adakah adik ingin mengejar kecemerlangan itu sekadar dengan terus merungut, berkeluh kesah merenung nasib diri?
Adik harus menilai sedalam-dalamnya setiap inci gerak laku adik sekarang. Cikgu ingin bertanya kepada adik, jika kita ingin mendapatkan buah durian kita sendiri, yang diusahakan sendiri, apakah yang perlu kita tanam? Kita kena tanam benih durian, betul tak? Bolehkah kita mendapat buah durian dengan menyemai benih lalang? Tak boleh bukan? Jadi, jika adik SERIUS hendak mengejar kecemerlangan, jika adik benar-benar risaukan prestasi adik yang menjunam dan ingin mengubah diri, adik HARUS BERTINDAK SEKARANG! Rancangkan aktiviti yang boleh menyumbang ke arah kejayaan adik. Perasaan malu, rendah diri, menganggap diri sebagai budak baru hanyalah khayalan pemikiran adik semata-mata. Perasaan itu samalah dengan menganggap ada hantu berkeliaran di kawasan perkuburan, kalau Pengetua atau Guru Disiplin panggil mesti nak denda atau marah dan sebagainya. Apa yang perlu adik lakukan ialah dengan cara MENGUSAHAKAN KEJAYAAN, seperti selalu berjumpa guru, rajin bertanya soalan kepada cikgu, mendapatkan bimbingan rakan-rakan yang pandai, menjadualkan masa, berdisiplin. Moga adik beroleh kejayaan!
1 comments:
kuatkan semangat dik... Ingatlah Allah sentiasa bersama kita. Teruskan berusaha, never give up!
Post a Comment