RENCAH HIDUP SEBAGAI KAUNSELOR (1)

>> Thursday, August 14, 2008

Salam semua. Mulai pagi ini, hari ini, 15 Sya'ban bertepatan dengan 15 Ogos, saya ingin mula bercerita tentang rencah-rencah kehidupan yang saya lalui sebagai Kaunselor Pelajar di sekolah menengah. Ramai orang, termasuk golongan pendidik sendiri sebenarnya kurang memahami peranan dan tugas seorang kaunselor di sekolah.

Ada yang berpendapat, jadi kaunselor senang saja. Goyang kaki, minum-minum di kantin, lepak tak ada kerja. Kelas tak ada. Apa lagi berdendanglah. Itu yang mereka lihat dari satu sudut pandangan. Saya masih ingat tatkala mendapat keputusan cemerlang dalam PTK DG 41, iaitu mendapat gred 4 - 4, ramai yang berkata, wah...senangnya ambik kertas PTK Kaunseling. Saya cabarlah mereka, ambillah kalau rasa senang sangat.

Baiklah. Saya malas hendak mengomel panjang-panjang pada dinihari Jumaat ini. Membuka kisah saya sebagai kaunselor, sebenarnya saya memulakan karier sebagai kaunselor sebaik sahaja menamatkan pengajian KPLI di Institut Perguruan Darul Aman pada tahun 1995. Pada tanggal 2 Jun 1995, saya melapor diri di SMK Taman Bukit Maluri, Kepong, Kuala Lumpur.

Masih jelas di ruang mata saya. Pada hari pertama saya melapor diri, PK HEM, Cik Khor memanggil saya menghadap beliau dan berbincang tentang bidang yang saya minati. Dengan semangat berkobar-kobar, sayapun tunjukkan hasil tulisan saya dalam Utusan Pengguna dan sebagainya yang menunjukkan minat saya dalam kaunseling khasnya Kemahiran Belajar.

"Saya mahu membantu kaunselor," ujar saya. Cik Khor lantas mempersilakan saya menganggotai Jawatankuasa Kaunseling sebagai pembantu kaunselor ketika itu iaitu Pn Manee (jika tak silap). Dari saat itu berkhidmatlah saya sebagai pembantu kaunselor dengan menghadiri mesyuarat-mesyuarat kaunselor, merancang program-program dan menjalankan program kaunseling seperti motivasi, kerjaya dan sebagainya.

Semangat saya begitu membara ketika itu untuk merancang program SMART Learning di SMK Tmn Bukit Maluri, Kepong lantaran saya adalah antara anak murid Dr Shukri Abdullah, Cikgu Zul, Pak Wan Khair dan Pak Ideris dalam team SMART Learning di USM sepanjang tahun 1990 - 1993. Banyak yang saya pelajari daripada mereka dan ingin sekali saya terjemahkan ilmu di sekolah ini. Sayapun menulis kertas kerja yang lengkap dan tebal untuk diserahkan kepada Pengetua ketika itu, Pn Nor Azizah Ibrahim (kini Datok).

Saya merancangkan program 3 hari 2 malam, untuk program SMART Learning yang lengkap dengan kemahiran menulis peta minda, visualisasi mental, kemahiran mengingat dan sebagainya dan menjemput pakar-pakar kemahiran belajar. Perbelanjaan program jika tak silap RM 10,000.00. Selesai sahaja menulis kertas kerja dan membuat perancangan, sayapun berjumpa Pengetua bagi mempersembahkan idea itu....

(bersambung).

0 comments:

Teknik Mencari Wang Percuma Di Internet.
Muat turun laporannya secara PERCUMA di sini !!

Pertanyaan




Form View Counter

About This Blog

Blog ini adalah milik Cikgu Esa Abd Samad. Blog mencatatkan aktiviti Cikgu Esa sebagai seorang kaunselor dan perunding motivasi.


Artikel Terkini

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP