HIDUP ADALAH PILIHAN: MENGHIMBAU KENANGAN DI ALAM SEK RENDAH

>> Sunday, November 29, 2009


Gambar kenangan cikgu bersama abang keempat, Aman (sebelah kanan, cikgu pula sebelah kiri, khusyuk membaca) , ketika berusia 10 tahun, iaitu tahun 1979. Aman adalah antara abang yang suka memprovokasi cikgu sedari kecil hingga cikgu melangkahkan kaki ke universiti. Namun abang inilah yang kerap membantu cikgu sewaktu cikgu di bangku universiti hinggalah saat baru bekerja. Terima kasih, Aman..

HIDUP ADALAH TENTANG SEBUAH PILIHAN...begitulah antara lain lirik lagu dalam siri drama yang cukup terkenal sedikit masa lalu, Bawang Putih Bawang Merah. Begitulah juga insyallah, tajuk buku yang ingin cikgu hasilkan pada tahun hadapan, 2010. Ada apa dengan hidup sebenarnya sebuah pilihan?

Sepertimana yang cikgu petik dalam blog baru-baru ini, kata-kata penulis dan penteori Choice Theory, William Glasser, bahawa bukan orang lain atau persekitaran yang menjadikan hidup kita menderita dan berkecamuk, sebaliknya itu adalah pilihan kita kerana orang lain atau persekitaran hanya menyediakan maklumat. Selebihnya kitalah yang membuat pilihan selepas menyaring maklumat dalam otak kita.

Dalam Surah Al-Balad, ada sepotong ayat yang bermaksud: Dan kami berikan dua jalan (untuk dipilih). Dalam Surah Al-Syam, ada sepotong ayat yang bermaksud: Dan kami ilhamkan sukma kejahatan dan kebaikan (bisikan yang menyeru ke arah kejahatan dan kebaikan). Dalam kehidupan, kita jangan cepat menuding jari ke arah orang lain sebelum bermuhasabah merenung kelemahan diri.

Apabila cikgu menoleh diri cikgu 30 tahun yang lampau, cikgu seakan tidak percaya betapa cikgu mampu berdiri sebagai seorang guru yang sedang menghabiskan pengajian di peringkat master kini. Alhamdulillah. Ini kerana apabila cikgu menghimbau sejarah lampau, sewaktu cikgu berada di bangku sekolah rendah, cikgu tergolong dalam golongan corot.

Sewaktu cikgu dalam darjah 1, tahun 1976, cikgu selalunya membonceng basikal ayah, atau abang (Amat dan/atau Aman), untuk ke sekolah di kampung sebelah, iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Rahmat. Kalau membonceng basikal tua ayah tak ada masalah. Cikgu ada lima adik-beradik yang kesemuanya lelaki. Abang yang ketiga dan keempat berada di sekolah rendah sewaktu cikgu masuk Darjah 1, sebab itu cikgu boleh membonceng mereka. Abang sulung ketika itu sudahpun berada dalam Tingkatan 5, di Sekolah Tuanku Abd Rahman (STAR) Ipoh, manakala abang ke-3 dalam Tingkatan 3.

Kalau membonceng basikal abang, mereka lazimnya suka mengutuk dan memperli. Kalau membonceng basikal abang Amat, biasanya dia akan memperli cikgu sebagai seorang yang canggung (kalau berjalanpun, dikatakan tak berapa betul atau diejeknya sebagai kartun). Kalau membonceng basikal abang Aman, dia akan mencubit peha cikgu dan mengejek cikgu banyak dosa.

Ketika darjah 1, cikgu amat bodoh hingga selalu dapat nombor 33 daripada 36 orang murid dalam kelas itu. Menurut abang-abang cikgu, selalunya cikgu akan membuang sahaja kertas soalan yang diberikan oleh cikgu dalam peperiksaan. Hobi cikgu ketika darjah 1 ialah bermain dalam kelas. Hinggalah pada akhir tahun, ayah yang bengang dengan diri cikgu yang selalu corot, telah merotan cikgu dengan tali pinggang apabila gagal menjawab soalan Matematik yang diajarnya ketika itu; tiga buah mangkuk campur dua buah mangkuk, jawabnya berapa? Cikgu beritahu 4 buah. Terkena libasan tali pinggang ayah adalah antara kenangan tak dapat dilupakan ketika cikgu baru berusia tujuh tahun.

Alhamdulillah berkat libasan itu, cikgu akhirnya meniti ke tangga 17 ketika melangkah ke darjah dua dan berada dalam top 10 ranking di kelas ketika berada di darjah 3. Ketika cikgu menduduki peperiksaan Penilaian Darjah Lima (masa tu belum ada UPSR) tahun 1980, cikgu mendapat 2 A 2 B 1 C, satu pencapaian yang dianggap baik dalam kalangan pelajar kampung ketika itu. Kalau tak silap, cikgu mendapat A bagi subjek Bahasa Melayu, Ilmu Alam (Geografi), dan B dalam Sains dan Matematik dan C dalam Bahasa Inggeris. Dengan gred sebegitu rupa, rupanya cikgu layak memohon masuk ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) ketika itu. Namun rezeki tidak menyebelahi cikgu apabila gagal dalam ujian saringan ke MRSM sewaktu dalam Darjah 6. Lalu cikgu menyambung pengajian ke sekolah harian biasa, di SMK Tongkang Pechah, Batu Pahat (oh ya, sekarang dikenali sebagai SMK Tunku Putra, kenapalah diorang tak suka dengan Tongkang Pecah??). Kesimpulan yang ingin cikgu buat daripada petikan pengalaman ketika sekolah rendah ialah, waima apapun pencapaian kita sewaktu di alam persekolahan, bukan penentu gagal atau jayanya kita di alam pekerjaan. Kita berhak membuat pilihan.

Pengalaman ketika di sekolah menengah lebih ironis lebih-lebih lagi apabila abang Aman mendesak emak cikgu memberhentikan cikgu sekolah sewaktu Tingkatan 2 dan 'didera' oleh abang Amat sewaktu Tingkatan 1 - 3. Ada apa dengan pengalaman itu dan kaitannya dengan kejayaan cikgu sekarang? Tunggu...

1 comments:

Anonymous December 31, 2009 at 8:51 AM  

Salam cikgu..

Terpanggil untuk meninggalkan komen di sini kerana saya juga bersekolah di SRK Bukit Rahmat dan SMK Tongkang Pechah.

Keduanya, betul kata cikgu, pencapaian di sekolah rendah bukanlah penentu kejayaan seseorang di masa hadapan.. :)

Selamat Tahun Baru, semoga tahun 2010 akan membawa lebih banyak kejayaan kepada cikgu.

Teknik Mencari Wang Percuma Di Internet.
Muat turun laporannya secara PERCUMA di sini !!

Pertanyaan




Form View Counter

About This Blog

Blog ini adalah milik Cikgu Esa Abd Samad. Blog mencatatkan aktiviti Cikgu Esa sebagai seorang kaunselor dan perunding motivasi.


Artikel Terkini

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP