HARDWARE DAN SOFTWARE SEORANG PELAJAR

>> Monday, December 7, 2009


Gambar hiasan: Pelajar SBPI Rawang sedang tekun belajar.
Adakah mereka memiliki hardware dan software sebagai pelajar?

SEBELUM ini cikgu pernah menulis mengenai isu kebolehcapaian pelajar dalam pelbagai bidang sewaktu mengulas isu UPSR yang telah disiarkan oleh Berita Harian, 23 November lalu. Seorang pelajar cemerlang baru memiliki aspek hardware tetapi belum lagi software. Hardware bagi sesebuah komputer ialah perkakasan luaran komputer itu manakala software ialah perisian komputer. Kalau kita membeli komputer yang mahal dan canggih tetapi tidak mempunyai software, maka komputer itu tidak memberi apa-apa maknapun kepada kita sebagai pembeli. Cukup sebagai hiasan sahaja.

Inilah yang cikgu rasai apabila diberi peluang oleh SBPI Rawang menjadi panel penemuduga kemasukan pelajar ke Tingkatan 1 di sekolah itu. 300 orang pelajar menghadiri temuduga manakala yang ingin diambil sekitar 90 orang sahaja. Di seluruh negara, hampir 100,000 permohonan diterima dan daripada jumlah itu, hampir separuh memiliki sijil 5 A dalam UPSR dan yang ingin diambil hanya kira-kira 6,000 orang pelajar. Maknanya pelajar yang memohon ke SBP sudah lengkap aspek hardware. Mereka sudahpun mendapat 5 A yang menunjukkan kompetensi akademik.

Apakah yang kurang? Kekurangan pelajar yang meraih 5 A ini ialah dari segi software iaitu kemahiran insaniah yang amat penting dan menjadi modal utama bagi mana-mana pelajar yang menamatkan alam persekolahan dan melangkah ke alam pekerjaan atau pengajian tinggi. Antara kemahiran insaniah yang perlu dimiliki oleh pelajar ialah aspek-aspek berikut:

1. Kemahiran sosial seperti mengucap salam, menghormati orang lain, protokol (tatacara sosial).
2. Kemahiran berbahasa (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan bahasa ketiga)
3. Kemahiran menyelesaikan masalah (Problem solving).
4. Kemahiran berfikir.
5. Kemahiran ESQ (Emotion and Spiritual Quotion) yang tinggi seperti ketahanan, motivasi pencapaian yang tinggi, kestabilan emosi dan sebagainya.

Daripada belasan pelajar yang menghadiri sesi temuduga bersama cikgu pada hari itu, hampir kesemua calon tidak pandai memberi salam, mengetuk pintu sebelum masuk ke bilik temuduga. Sukar bagi cikgu menerima alasan, mereka ini masih kecil kerana baru berusia 12 tahun. Ini kerana mereka mewakili entiti terbaik dalam kalangan 500,000 calon UPSR, iaitu meraih 5 A dan sudah tentu kebanyakan mereka juga merupakan pengawas, pengawas pusat sumber dan ketua-ketua kelas. Apakah perkara paling asas beginipun masih gagal dihayati oleh pelajar kita?

Begitu juga dengan aspek kemahiran berbahasa. Agak mengejutkan kerana kebanyakan pelajar gagal menguasai Bahasa Arab pada peringkat paling asas (sekadar memperkenalkan diri), biarpun meraih mumtaz (cemerlang) dalam Bahasa Arab di peringkat ujian tertinggi sekolah rendah agama (UPSRA). Begitu juga dalam soal ESQ, kemahiran menyelesaikan masalah dan berfikir. Kebanyakan pelajar menjawab, mereka kurang arif mengenai SBP, memilih SEPINTAR kerana berdekatan dengan rumah dan agak gawat apabila ditanya soalan provokasi seperti tindakan yang akan dilakukan jika mereka dibuli, mengalami gejala homesickness (kerinduan kepada keluarga), dihantar ke SBP yang jauh-jauh seperti Sabah dan Sarawak. Mereka memberi alasan sukar berjauhan dengan keluarga, ibu bapa sebenarnya yang beria-ia mahukan mereka ke SBP sedangkan mereka enggan dan ada yang menangis sepanjang sesi temuduga, mungkin kerana ketakutan.

Pengalaman menjadi panel penemuduga seolah-olah membenarkan andaian cikgu selama ini bahawa bukan semua calon pelajar ke SBP benar-benar kompeten dari segi software. Pengalaman selama 7 tahun sebagai kaunselor di SBP menunjukkan betapa sesetengah pelajar begitu mudah gawat hanya selepas beberapa hari atau minggu berada di SBP. Mereka sukar menyesuaikan diri berada dalam kelompok yang terasing daripada keluarga sendiri, terpaksa berdikari dalam segala aspek dan perlu memiliki daya ketahanan mengharungi segala cabaran di SBP. Percaya atau tidak sesetengah kes homesick ini terpaksa cikgu rujuk kepada pakar psikiatris apabila mereka mengalami simptom major depression (kemurungan kronik)? Jadi memang wajar sekali temuduga dijalankan bagi menyaring permohonan ke SBP agar hanya calon yang memiliki hardware dan software dan bukan calon cuba-cuba, calon yang masuk ke SBP kerana disuruh oleh ibu bapa dan calon yang hanya bersandarkan kepada tuisyen sebagai asas kecemerlangan masuk ke gelanggan percaturan akademik dan sosial yang hebat seperti di SBP. Kepada calon yang berjaya ke SBP, tahniah cikgu ucapkan.

0 comments:

Teknik Mencari Wang Percuma Di Internet.
Muat turun laporannya secara PERCUMA di sini !!

Pertanyaan




Form View Counter

About This Blog

Blog ini adalah milik Cikgu Esa Abd Samad. Blog mencatatkan aktiviti Cikgu Esa sebagai seorang kaunselor dan perunding motivasi.


Artikel Terkini

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP