HEBAT SANGATKAH SEKOLAH CINA?
>> Wednesday, December 9, 2009
Aduhai pelajar SBP; Mampukah kamu menjadi sehebat pelajar di sekolah Cina?
CIKGU ingin menyentuh isu yang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini iaitu mengenai sekolah jenis kebangsaan khasnya sekolah-sekolah Cina. TPM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dikatakan ingin mengkaji pendekatan pembelajaran di SJK Cina yang kelihatan lebih unggul pencapaian mereka dalam akademik berbanding pelajar sekolah kebangsaan. Isu ini menimbulkan polemik dalam masyarakat apabila sesetengah orang bersetuju manakala ada pula yang tidak.Ada apa dengan sekolah Cina? Cikgu hanya ingin berkongsi beberapa pengalaman dan pengetahuan berdasarkan pembacaan dan kutipan peristiwa yang ditempuhi sepanjang bergelar pendidik.
CATATAN PERTAMA: KUNJUNGAN KE SEKOLAH CINA (ERA 1990-an)
Pada tahun 1990-an, cikgu berpeluang menjadi pasukan pelawat dalam Operasi Cerdik yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan. Dalam Operasi Cerdik ini, kami pasukan pelawat diminta meninjau aspek keberkesanan sesebuah sekolah sama ada dalam akademik, kokurikulum dan pendokumentasian program dan sebagainya. Cikgu berpeluang meninjau dan menilai sebuah sekolah Cina di Kuala Lumpur yang terkenal. Sekolah tersebut, yang uniknya tidakpun mengamalkan sepenuhnya sistem yang biasa menjadi amalan sekolah-sekolah kebangsaan. Misalnya, aspek pendokumentasian. Mereka sekadar merakamkan peristiwa atau program dalam bentuk gambar yang disimpan dalam album. Tidak ada dokumentasi tebal-tebal dan menepati ISO 9001 seperti di sekolah-sekolah kebangsaan. Dari segi akademik, pencapaian pelajar mereka amat menonjol dan hebat. Dan mereka dengan megah menunjukkan sebuah bangunan tersergam yang mereka katakan dibina hasil program makan malam.
CATATAN KEDUA: SINDIRAN IBU SEORANG PELAJAR CINA DI SEBUAH SBP (Awal 2000-an)
Pada tahun 2004 pula cikgu menghadiri mesyuarat di sebuah sekolah berasrama penuh yang berprestij. Kebetulan cikgu sempat bersembang panjang dengan pengetua sekolah tersebut. Ketika itu, pelajar-pelajar baru Tingkatan 1 sedang mengikuti program orientasi.
Pengetua sekolah itu memberitahu, antara peristiwa yang tidak dapat dilupainya tentang sikap pelajar baru di SBP yang terkenal dengan masalah homesick (penyesuaian diri) ialah apabila didatangi oleh seorang ibu pelajar Cina yang menyindir sikap pelajar Melayu yang mendapat tempat di sekolah elit seperti itu tetapi bersikap manja; tak tahan dengan cabaran terus hendak balik, asyik-asyik dengan rindukan ibu bapa. Berdesing telinga cikgu mendengar kata-kata Pengetua itu. Jelasnya SBP disediakan khasnya untuk pelajar Bumiputera namun tampaknya mereka kurang daya ketahanan.
CATATAN KETIGA: ULASAN DR KUA KIA SOONG MENGENAI SEKOLAH CINA (Hari ini)
Akhir sekali sebagai renungan, cikgu ingin menitipkan beberapa ulasan seorang pakar pendidikan, Dr Kua Kia Soong dalam The Sun, 9 Disember 2009 bertajuk "Untenable prejudice against Chinese schools."
Antara titipannya yang paling menyengat ialah betapa lepasan sekolah Cina begitu dihargai oleh negara luar seperti Singapura yang satu ketika menawarkan 1000 tempat kepada pelajar kita (lepasan Sekolah Cina), ke National University of Singapore. Di Malaysia ujar penulis itu, cabaran dihadapi pelajar ialah kegagalan Malaysia mengiktiraf Unified Examination Certificate.
Dan beliau menonjolkan nama pelopor, pencipta pen drive berbangsa Cina, Pan Jian Cheng yang kini menjadi usahawan muda yang kaya raya di Taiwan. Pan Jian Cheng adalah lepasan sekolah Cina persendirian. Begitu hebatnya sekolah Cina hingga mampu melahirkan PENCIPTA (Inventor).
Beliau juga memaparkan beberapa nama lepasan sekolah Cina di serata dunia yang memenangi anugerah nobel seperti Lee Tsung Dao (Fizik, 1957), Lee Y T (Kimia, 1986), Edmund Fischer (Perubatan, 1992), Gao Xingjian (Sastera, 2000), Charles K. Kao (Fizik, 2009).
Cukuplah tiga catatan ini sebagai refleksi khasnya buat pelajar SBP dan pelajar-pelajar Melayu lain amnya. Namun tujuan cikgu memaparkan catatan ini bukan bermakna pelajar Cina adalah yang terbaik, mereka juga ada kelemahannya; misalnya dari segi berbahasa (khasnya Bahasa Melayu) dan kemahiran generik/insaniah, namun anda harus merenungi kekuatan dan kelebihan mereka.
Cabaran kepada pelajar Melayu, khasnya pelajar SBP dan lepasan SBP, MRSM, sekolah-sekolah elit lain dan keseluruhan pelajar Melayu ialah mampukah kalian menjadi pencipta yang hebat seperti Pan Jian Cheng? Cukupkah kita berbangga dengan melahirkan pelajar cemerlang SPM yang mendapat 20 A, angkasawan negara, saintis yang merentasi kutub utara dan selatan dan sebagainya? Tulisan ini juga diharap menjadi cabaran buat pelajar SBP yang baru mengenal hidup di bumi SBP, juga graduan sekolah yang berada di bumi asing seperti Amerika Syarikat...mampukah anda menjadi terhebat di negara orang? Renung-renungkan....
3 comments:
Biasalah cikgu... Inilah lumrah hidup kita cikgu.. orang cina tak sama dengan orang melayu, bukan nak kutuk bangsa sendiri... tapi dah terbukti sejak berkurun lama lagi... Orang cina rajin, sangat rajin dari orang melayu..sebab mak bapak dia orang dah didik supaya rajin sebab nak atasi kaum melayu... perasaan perkauman masih menebal lagi dalam kalangan masyarakat Malaysia walaupun dah diperkenalkan gagasan Satu Malaysia... kalau cikgu nak bukti lagu... cikgu bukak youtube, cikgu taip " Gadoh ". ni citer yang tak ditayangkan dipawagam tapi citer ni menceritakan tentang keadaan di sekolah Malaysia sekarang ni....
salam cikgu.
saya suka artikel ni. selagi orang melayu tak ubah sikap. sampai bila2 kita masih di takuk yang lama. ini mungkin kesan dari penjajah. tapi, tak kan dah 53 tahun masih sama?
kembali kepada landasan islam yang sebenar, Allah dah sebut 1400 tahun dahulu, Allah tak kan ubah nasib satu kaum itu selagi mana mereka tidak mengubah apa yang ada dalam diri mereka.
Pada masa yang sama kita juga harus melihat pada diri kita sendiri,apakah guru-guru di sekolah kebangsaan mampu memupuk nilai-nilai inovasi dan kreativiti dikalangan pelajar. Sebilangan besarnya saya lihat hanya melaksanakan tugas rutin again and again tanpa memikirkan pelajarnya sudah jemu dg gaya pembelajaran yang langsung tidak memihak kepada pelajar generasi Y
Post a Comment