YANG KITA BENCI ITULAH YANG TERBAIK?

>> Tuesday, December 1, 2009

Gambar cikgu sewaktu dalam Tingkatan 1. Berdiri di belakang paling kiri.

MENGHIMBAU kenangan sewaktu dalam Tingkatan 1 - 3, tidak terbayang sebenarnya betapa bodohnya cikgu ketika itu. Cikgu amat lemah dalam kebanyakan subjek kecuali Bahasa Melayu, Pengetahuan Agama Islam (kini Pendidikan Islam). Matematik, Sains Paduan, Seni Perusahaan (kini Kemahiran Hidup) dan sebagainya selalu sahaja kecundang dan mendapat gred merah.

Orang yang bertanggungjawab membimbing, mengasak dan membantu cikgu ketika di peringkat menengah rendah ialah abang yang tengah, iaitu Amat (Ahmad). Beliau mengasak dan membimbing secara tegas. Pagi-pagi lagi cikgu harus menuruti perintah beliau untuk menemani dan membantunya menoreh getah di kebun emak. Tugas cikgu ialah menghalau nyamuk dengan mengibas-ngibas anak-anak pokok getah dan membetulkan cawan getah serta membantu memasukkan 'senggeret' (getah yang kering) ke dalam cawan. Untuk tugas sebegini, cikgu dibayar upah lima puluh sen sehari. Balik sahaja daripada menoreh getah, Amat akan mengarahkan cikgu mengambil buku teks Matematik dan dia akan mengajar cikgu. Masa cikgu Tingkatan 1 (1982), cikgu sudahpun belajar nombor set dan sebagainya. Setiap kali cikgu gagal menjawab soalan Matematik, mengikuti latih tubi yang diajarnya, dia akan memiat-miat telinga cikgu.

Memang terdera dibuatnya apabila saban hari cikgu diperlakukan begitu. Habis sahaja belajar, sudah tengah hari dan cikgu bersiap pula ke sekolah (sesi petang). Begitulah Amat tekun mengajar cikgu hingga ke Tingkatan 3. Ikutkan hati waktu itu, memang marah betul, geram tak terhingga. Lagu-lagu untuk mengubati hati yang luka ketika itu ialah lagu Alleycats, seperti Senandung Semalam, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi dan sebagainya.

Ketika Tingkatan Dua, seorang lagi abang, Aman, pula selalu memprovokasi cikgu. Antara cikgu dengan Aman sememangnya bagaikan anjing dan kucing, bergaduh sahaja saban hari. Satu ketika, sewaktu cikgu melepaskan hajat di 'rumah kecil' di belakang rumah, terdengar Aman memberitahu emak, cikguni elok diberhentikan sahaja sekolah kerana semua subjek mendapat warna merah (gagal). Namun emak memujuk Aman dengan berkata, biarlah cikgu sekolah, sekurang-kurangnya meramaikan orang kat sekolah.

Kedua-dua abang ini dengan sikap mereka sedemikian rupalah sebenarnya...alhamdulillah telah melonjakkan diri cikgu daripada seorang pelajar yang bodoh dalam Tingkatan 1 akhirnya berjaya mendapat 15 Agregat dalam SRP (1984), iaitu agregat yang dibanggakan bagi orang kampung ketika itu. Apatah lagi cikgu mendapat gred yang baik bagi subjek Matematik dan Sains selain Bahasa Melayu, Geografi dan Pengetahuan Agama Islam. Provokasi Aman dan dialog Aman dengan emak telah menyebabkan hati cikgu menjadi cukup panas dan tercabar hendak belajar bersungguh-sungguh.

Terima kasih Amat dan Aman. Abang-abang lain seperti Allahyarham Abang (Ramly), iaitu abang sulung ada juga membantu tetapi tidak kerap kerana dia berada di Kuala Lumpur (belajar di UTM) ketika itu dan abang Mokhtar pula sudah bertugas sebagai Polis di Terengganu.

Renungan daripada coretan ringkas ini khasnya kepada remaja ialah tidak semua perkara yang kita benci, marah, geram yang kita lalui ketika remaja tidak baik untuk kita. Ada kala anda mungkin dimarahi ibu. Ada kala anda mungkin dileteri ayah. Ada kala anda rasa terkongkong dengan sebegitu banyak peraturan dan ketetapan di rumah, di sekolah dan sebagainya. Tetapi perkara yang anda benci itu sebenarnya baik untuk anda. Perkara yang anda benci itu adalah ubat penawar yang mujarab untuk anda.

Renungi maksud ayat 116 surah Al-Baqarah yang antara lain bermaksud ; "Boleh jadi perkara yang kamu benci itulah yang terbaik buat dirimu, boleh jadi perkara yang kamu sukai/sayangi itulah yang terburuk kesudahnnya buat dirimu." Renung-renungkan.

0 comments:

Teknik Mencari Wang Percuma Di Internet.
Muat turun laporannya secara PERCUMA di sini !!

Pertanyaan




Form View Counter

About This Blog

Blog ini adalah milik Cikgu Esa Abd Samad. Blog mencatatkan aktiviti Cikgu Esa sebagai seorang kaunselor dan perunding motivasi.


Artikel Terkini

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP