MENGAPA MEMBENCI LAGU WARISAN?
>> Tuesday, December 1, 2009
AKHIR-AKHIR ini berkumandang suara masyarakat yang mempersoal lagu Warisan. Ketua Pembangkang, Datok Seri Anwar Ibrahim telah mempertikai lagu tersebut khasnya lirik yang menyebut bumi dipijak milik orang, seterusnya mengaitkannya sebagai berunsur perkauman dan seolah-olah menyalahkan orang lain, seperti kaum Cina dan India.
Lagu Warisan telahpun cikgu dengar sejak di bangku sekolah, iaitu pada tahun 1980-an. Ketika berada di Tingkatan 5, bulan Julai, cikgu adalah antara ratusan pelajar Melayu di sebuah sekolah di bandar Batu Pahat dikumpulkan dalam program motivasi dan lagu ini adalah antara titipan pembakar semangat ketika itu. Begitu juga sewaktu berada di Tingkatan 6, sekali lagi cikgu berpeluang mengikuti kursus BTN di Kluang, Johor dan lagu ini menjadi dendangan peserta.
Apakah dosa lagu ini hingga begitu dibenci oleh sesetengah pihak? Cikgu tidak berniat hendak berpolemik dengan sesiapa namun sekadar berkongsi pengalaman peribadi dengan lagu yang telah berusia puluhan tahun ini. Secara peribadi, lagu ini telah membakar semangat cikgu, bukanpun hendak bergaduh, berperang, bermusuh, dengan kaum-kaum lain, sebaliknya bangun memperkasa diri sendiri dan memupuk semangat membangunkan anak bangsa sendiri. Lagu ini begitu mudah liriknya untuk difahami dan sebenarnya memaparkan realiti yang harus ditanggung oleh umat Melayu sendiri.
Perhatikan satu demi satu rangkap lagu ini dan teliti apakah maknanya dalam kelangsungan hidup anak bangsa:
terbakar hatinya yang sepi,
air mata darah bercampur keringat,
bumi dipijak milik orang.
Mengamati rangkap pertama ini, menginsafkan diri cikgu ketika di bangku sekolah betapa kerdilnya tinggal di bumi bertuah yang bernama Malaysia ini. Betapa biarpun kita sudah merdeka berpuluh-puluh tahun, bumi yang dipijak, tanah yang dipijak milik orang. Apakah maknanya milik orang? Maknanya kekayaan, sumber asas ekonomi seperti tanah, bangunan, harta modal kebanyakannya tidak dimilik oleh bangsa Melayu. Fikir sahajalah produk IKS (Industri Kecil dan Sederhana) milik Bumiputera, hanya 7% berada di pasaraya besar yang bukan milik orang Melayu? Di kampung-kampung, sedari cikgu kecil-kecil dahulupun, tanah-tanah dijual kepada orang berbangsa Cina oleh golongan tua kerana mereka ingin mengerjakan haji dan sebagainya. Kemudian merekapun memacakkan kilang, memperluas kebun dan ladang kelapa sawit dan sebagainya. Kini di kampung cikgu, boleh dikatakan hampir separuh bukan lagi milik asal penduduk berbangsa Melayu.
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Peribumi merintih sendiri
bagi tahun 1970, maka jumlah yang didapati ialah $ 5,329 juta. Jumlah yang dikuasai oleh pemodal asing, termasuk syarikat Inggeris yang ditubuhkan semasa penjajahan dulu ialah sebanyak $ 3,377 juta (63.3%) berbanding dikuasai Cina sebanyak $ 1,450 juta (27.2%) manakal yang dikuasai oleh Melayu dan segala kepentingannya cuma $ 125 juta (2.4%). Dalam semua sektor ini, melainkan pengkangkutan, milik asing ialah antara 50 hingga 75%.
Pendapatan purata orang Melayu/Bumiputera pula hanyalah RM 2,711, Cina RM 4,437.00 dan India RM 3,456.00 mengikut statistik tahun 2004 (Syed Husin Ali, 2008). Jadi, tidak benarkah fakta bahawa 'hasil mengalir ke tangan yang lain, Peribumi merintih sendiri?'
Kan lenyap peristiwa semalam,
tertutuplah hati terkunci mati,
maruah peribadi dah hilang
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati, bersama berbakti
Pulih kembali harga diri
Lirik seterusnya pula mengingatkan bangsa Melayu betapa tunjang yang ada hanya kuasa kerana kita sudah kehilangan kuasa ekonomi. Begitu juga kuasa kerohanian/agama berdasarkan masalah sosial ummah kini. Lirik ini mengajak bangsa agar sama-sama bersatu dan memulihkan kembali harga diri. Apabila menghayati lagu ini, cikgu akan bersemangat hendak memajukan diri dan anak bangsa ke arah yang terhebat dan ke puncak kecemerlangan.
Majulah dengan Maha Perkasa,
Jangan lalai teruskan usaha
Melayu kan gagah di nusantara
Sewaktu cikgu dalam Tingkatan 6, kami ada mengkritik lirik terakhir ini dan menggesa perkataan Melayu ditukar kepada Islam. Cikgu akui lagu ini bersifat perkauman tetapi bukanlah lagu ini berperanan menyuruh orang Melayu membenci dan berperang dengan bangsa lain. Walaubagaimanapun, yang terpenting ialah roh di sebalik lirik terakhir ini; menggesa umat Melayu agar terus maju dan menggagahkan diri di persada tanah air dan serantau.
Sesungguhnya sejak menghayati lagu ini 30 tahun yang lampau, cikgu tidakpun pernah bergaduh, bermusuh, berperang atau menyalahkan mana-mana pihak lain; orang Cina, India dan sebagainya seperti tanggapan sesetengah pihak. Begitu juga apabila cikgu menyanyikan lagu ini dengan anak-anak didik, tidakpun terlintas di hati meminta mereka memusuhi kaum-kaum lain di negara ini. Yang penting, dengan menyanyikan lagu ini, menghayati lagu ini, cikgu dapat memupuk semangat dan daya juang agar berusaha seoptimum mungkin untuk menjadi orang Melayu-Islam yang cemerlang dan dapat mencemerlangkan anak bangsa. Berdosakah perbuatan ini? Perkauman sangatkah gagasan ini? Sesungguhnya sejak puluhan tahun, cikgu mempunyai ramai rakan-taulan berbangsa Cina, India malah bangsa-bangsa lain seperti Eropah dan Amerika. Malah cikgu pernah menyertai Multi level marketing bersama rakan Cina, menjual barang/produk di kedai Cina atas nama rakan kongsi dan sebagainya. Sewaktu di universiti, rakan-rakan kumpulan untuk menyiapkan projek kursus dan sebagainya ramai daripada kalangan pelajar Cina. Cikgu juga tidak terhasut atau pernah menyertai parti UMNO hanya dengan mendengar dendangan lagu ini. Begitu juga soal sikap kritikal terhadap integriti, rasuah dan penyalahgunaan kuasa masih tidak terhakis hanya kerana mendengar dan menghayati lagu ini.
Sehubungan itu, kepada yang terlalu skeptikal terhadap lagu ini dan kursus seperti Biro Tatanegara, muhasabahlah diri banyak-banyak dan pandanglah daripada pelbagai sudut. Kata Hellen Keller, jangan terlalu lama memandang pintu yang masih tertutup, kerana banyak lagi yang sedang terbuka. Wallahua'lam.
0 comments:
Post a Comment