JOM MUHASABAH: KALIMAH ALLAH DAN GENERASI MENDATANG

>> Monday, January 18, 2010

Keputusan mahkamah harus dihormati oleh semua pihak, begitu juga pengumuman menteri. Namun renungi gambar hiasan ini - sebuah gereja di Indonesia. Apakah kita akan menyaksikan pemandangan sebegini nanti di Malaysia?

SALAM. Cikgu ingin berhenti sebentar daripada memperkatakan petua sihat dan santai. Kali ini cikgu ingin mengajak pembaca merenungi apakah erti, natijah, implikasi penggunaan nama Allah dalam kalangan bukan Islam ekoran keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini. Seterusnya keputusan itu mengundang pelbagai polemik dalam kalangan ahli-ahli politik dan masyarakat Islam dan bukan Islam. Terkini, Menteri di JPM, Datok Seri Muhammad Nazri menyatakan Kerajaan Persekutuan tiada halangan penggunaan nama Allah bagi penganut Kristian di Sabah, Sarawak, Putrajaya dan Pulau Pinang. Hakim dalam keputusan bertulisnya menyatakan bahawa tindakan menteri melarang penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian bertentangan dengan Artikel 3 Perlembagaaan Persekutuan, kerana larangan itu tidak adil bagi penganut Kristian yang menggunakan pertuturan Bahasa Melayu.

Cikgu tidak betah hendak memperdebat isu ini kerana tidaklah terlalu arif mengenai undang-undang, sudut syariah dan sebagainya. Lagipun apabila sesuatu perkara telah diputuskan mahkamah, tindakan menghina mahkamah boleh dikenakan terhadap mereka yang mengengkari atau mempersoalkannya. Walaubagaimanapun ini dari segi perundangan. Dari segi hukum syarak tentunya berbeza. Misalnya, pemakaian tudung dalam kalangan pelajar Islam di sekolah. Tiada undang-undang mewajibkan namun hukum syarak mewajibkan.

Sebagai seorang pendidik, cikgu cuma gusar...gusar tentang implikasi isu ini terhadap anak-anak didik yang sedang membesar dan anak-anak cikgu sendiri yang sedang meniti ke alam remaja dan bakal menjadi dewasa mungkin...lima ke sepuluh tahun lagi. Apakah agaknya nasib generasi atau ummah pada masa hadapan natijah isu ini? Sebagai perbandingan, anda lihat dan renung gambar di atas. Gambar itu adalah gereja di sebuah kawasan di Indonesia. Malah di Indonesia pemandangan ini lumrah. Apakah kita akan menyaksikan pada masa akan datang, akan tumbuhnya gereja-gereja yang bertulis Rumah Allah, Allah Itu Kasih, Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang, munculnya penulisan berbentuk buku, makalah, risalah berjodol Kitab Allah, Kembali Kepada Allah; yang unsur penulisannya menjurus kepada ajaran agama Kristian. Risaunya cikgu ialah disebabkan tipisnya akidah ummah khasnya generasi muda Melayu-Islam kini. Ramai yang kurang menghayati dan mendalami akidah Islam kecuali terbatas kepada ilmu yang dipelajari dalam Pendidikan Islam yang hanya merangkumi beberapa waktu seminggu di sekolah dan bagi pelajar yang berpeluang ke sekolah agama di bawah kerajaan negeri, juga pelajar aliran agama/sekolah berasrama penuh agama. Apakah agaknya implikasi hal ini terhadap akidah anak-anak kita pada masa akan datang? Mungkinkah akan lahir generasi yang tidak tahu lagi hendak membezakan yang mana benar-benar Rumah Allah, kitab Allah dan kebenaran hakiki di sisi Allah? Lihat sahajalah kini isu-isu kebejatan sosial seperti rempit, black metal, buang anak, dadah dan sebagainya; dari segi statistik menunjukkan remaja Islam yang terulung.

Perkara ini tidak mustahil berlaku kerana unsur-unsur sebegini boleh ditemui secara meluas di Indonesia. Isu ini juga tidak seharusnya terbatas setakat kebenaran kepada Herald Tribune kerana ia akan menjalar kepada hal-hal lain seperti rumah ibadat, penerbitan risalah/buku/makalah, web-web dan sebagainya. Sekali lagi, cikgu tidak mahu memperdebat hal ini dari segi undang-undang mahupun hukum agama kerana biarlah hal ini menjadi perdebatan, muzakarah alim-ulama, ahli politik khasnya umat Islam yang nampaknya terus menampakkan perpecahan, bukan penyatuan dalam hal ini.

Wajar juga direnungi, kebimbangan cikgu ini juga bersangkut paut dengan survival ummah yang di hujung tanduk; dengan pengumuman SPR bahawa 65% daripada 4.39 juta penduduk berusia 21 tahun ke atas yang belum mendaftar sebagai pengundi adalah Bumiputera. Jadi, berhentilah memikirkan isu ini daripada sudut sempit seperti politik, tetapi berfikirlah mengenai hubungan isu ini dengan kelangsungan hidup ummah pada masa akan datang. Hancurnya Iraq, hancurnya Bosnia, hancurnya Daulah Uthmaniah yang menamatkan kekhalifahan dalam Islam pada tahun 1924, hancurnya Empayar Melayu Melaka pada 1511....bukan sangat disebabkan kekuatan serangan dari luar, tetapi perpecahan dari dalam, sengketa sesama umat, dan disebabkan dengki kesumat. Tidak salah kita berbeza pendapat, asalkan jangan sampai menghancurkan umat, kerana kita akan dikutuk sepanjang hayat oleh generasi akan datang yang mungkin tersesat! Islam juga mengajar kita sentiasa memikirkan kemaslahatan ummah..Menungan terakhir setakat ini ialah gambar di bawah...lihatlah bagaimana umat Islam khasnya generasi muda dipermainkan dengan permainan yang mempersenda Rasulullah s.a.w., Nabi Muhammad s.a.w. Mungkinkah permainan (game) ini apabila sampai ke negara kita kelak, remaja Islam tanpa sedar seronok bermain hingga lupa akidah dan akhlak? Renung-renungkan!







Gambar yang cikgu terima daripada kiriman emel mengenai permainan Lego
di Denmark. Mungkin di Malaysia belum sampai tetapi tanpa kesedaran ummah, akhirnya
kita terus diperkotak-katikkan.

0 comments:

Teknik Mencari Wang Percuma Di Internet.
Muat turun laporannya secara PERCUMA di sini !!

Pertanyaan




Form View Counter

About This Blog

Blog ini adalah milik Cikgu Esa Abd Samad. Blog mencatatkan aktiviti Cikgu Esa sebagai seorang kaunselor dan perunding motivasi.


Artikel Terkini

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP