TINGGAL 40 HARI LAGI...

>> Wednesday, January 27, 2010

MASA berlalu sebegitu pantas meninggalkan kita. Begitu juga dengan cikgu. Diam tak diam, cikgu hanya memiliki masa 40 hari lagi sebelum tempoh cuti belajar selama 27 bulan bersamaan 810 hari akan berakhir. Selepas itu, cikgu akan bekerja.

Terlalu mendebarkan rasanya hendak mengakhiri tempoh cuti yang semakin singkat ini. Cikgu perlu turun padang ke sekolah-sekolah yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran untuk membuat kajian mengenai tingkah laku buli. Sesungguhnya memang mendebarkan sekali. Cikgu hendak kongsi dengan anda betapa risaunya semalam apabila cikgu hendak memulakan kajian di sebuah sekolah.

Cikgu mempunyai persepsi bahawa sekolah ini ditadbir oleh seorang pengetua yang agak berstruktur tinggi. Cikgu mula dilanda kebimbangan andai sukar hendak menembusi sekolah tersebut. Namun cikgu pasrah dan bertawakal kepada Allah, membetulkan niat betapa kajian cikgu sebenarnya berguna kepada semua orang khasnya kaunselor di sekolah dan dalam menangani gejala sosial.

Berbekalkan semangat, pasrah dan doa, cikgu membulatkan tekad bertandang ke sekolah berkenaan. Alhamdulillah, rupa-rupanya pengetua berkenaan dan pihak sekolah mesra sekali dan tidak ada masalah menerima kedatangan cikgu sebagai penyelidik.

Sesuatu yang ingin cikgu kongsikan di sini ialah, kadangkala ketakutan dan trauma yang kita alami bukanlah yang sebenarnya namun hanya berpunca daripada persepsi. Persepsi membentuk sistem kepercayaan dalam diri kita seterusnya mempengaruhi pemikiran dan membentuk tingkah laku dan sikap kita.

Masih terpahat dalam ingatan, kisah yang dititipkan oleh seorang sahabat yang merupakan OKU ketika belajar di USM dahulu. Beliau gigih belajar dengan menaiki kerusi roda berjalan ke sana dan ke mari. Kisah yang dititipkan oleh beliau adalah mengenai seorang lelaki yang menaiki kereta menuju ke satu destinasi. Tiba di pinggir sebuah hutan, entah mengapa keretanya terhenti. Silelaki pantas membuka bonet dan mendapati keretanya rosak.

Lelaki malang ini cuba memeriksa kenderaannya malangnya alatannya tiada. Diapun melilau melihat kalaulah ada rumah di pinggir hutan itu. Dia memandang ke arah jam tangannya. Ah! Sudah pukul 3.00 pagi.

Alhamdulillah...ujarnya, apabila terpandang satu sinar berbalam-balam dari kejauhan menunjukkan seakan ada sebuah rumah di pinggir hutan itu. Diapun berjalan menuju ke rumah itu sambil berfikir-fikir.

Mahuke tuan rumah ni bukakan pintu untuk aku? Mahuke dia menolong aku? Langkahnya kian dekat tapi pemikirannya kian bercelaru.

Langkahnya hanya tinggal 500 meter tetapi lelaki malang ini masih berfikir. Hari dah jauh malam...dah masuk dinihari, entah-entah tuan rumah halau saya dari rumah? Entah-entah dia akan kata sayani penyamun sengaja menyamar konon kereta rosak..

Pemikirannya semakin kusut dan berserabut dan diamuk seribu satu keresahan. Hanya beberapa langkah lagi sampai ke depan pintu.

Entah-entah tuan rumah nanti akan ambil kapak ke, senapang patah ke tembak kepala saya sampai hancur kerana menyangkakan saya pencuri atau perompak? Habislah aku...sambil dirinya diamuk resah dan kekusutan, silelaki malang tanpa sedar telah mengetuk pintu berkali-kali.

Sebaik pintu berkuak, dan tuan rumah belum sempat menyapa, lelaki malang ini terus menyergah tuan rumah itu;

"Sudahlah...kalau tak mahu tolong cakap aje tak mahu tolong...tak payah nak tembak kepala saya...saya bukan perompak, saya bukan penyamun saya cuma nak minta tolong!"

Agaknya apakah kesudahan cerita ini? Habiskan sendiri. Moralnya, jangan terlalu percaya kepada persepsi negatif anda. Be positive. Ini bukan pesan kepada anda tapi pesan kepada cikgu sendiri yang perlu melangkah ke beberapa sekolah lagi bagi menyudahkan kajian kes ini. Doakan kesejahteraan dan kejayaan cikgu....

0 comments:

Teknik Mencari Wang Percuma Di Internet.
Muat turun laporannya secara PERCUMA di sini !!

Pertanyaan




Form View Counter

About This Blog

Blog ini adalah milik Cikgu Esa Abd Samad. Blog mencatatkan aktiviti Cikgu Esa sebagai seorang kaunselor dan perunding motivasi.


Artikel Terkini

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP