11 NOVEMBER YANG MENDEBARKAN DAN PERKONGSIAN DENGAN CALON SPM SEPINTAR

>> Tuesday, November 17, 2009



BARU-BARU ini, detik 11 November 2009 merupakan detik yang amat mendebarkan buat diri cikgu. Apa tidaknya, pada detik itu, cikgu perlu membentangkan proposal tesis yang bertajuk "Tingkah laku buli daripada perspektif Teori Pilihan: Kajian Kes di Sekolah Berasrama Penuh." Cikgu membentangkan proposal di hadapan Prof Madya Dr Amir Hassan Dawi, Timb Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia dan En Muhammad Aziz Shah, pensyarah kaunseling yang bertindak sebagai penilai/pembaca proposal.

Wow! Kira berpeluh jugalah nak membentangkan proposal. Malam kejadian, dua jam aje cikgu tidur. Pagi-pagi hari pembentangan, tak lalu nak makan. Dan sehari sebelum pembentangan, seharian cikgu berkampung di pusat sumber UPSI lantaran dikerah oleh Dr Ahmad Jazimin, penyelia tesis untuk membetulkan segera proposal berdasarkan komentar pembaca.

Begitulah detik-detik cemas cikgu nak menghabiskan hari-hari dan minggu-minggu terakhir sebelum menggenggam segulung ijazah Master. Alhamdulillah selepas membentangkan di hadapan bukan saja pembaca hebat itu, juga di hadapan puluhan pelajar sarjana yang dijemput khas oleh PM Dr Amir Hasan dan rakan-rakan penyokong, seperti Kamil, Rahman, Azman...dan menerima kritikan demi kritikan akhirnya, proposal cikgu diluluskan dengan pembetulan.

Terima kasih atas doa kalian, rakan-rakan cikgu dan anak didik cikgu. Doakan cikgu berjaya. Selepas ini, cikgu akan membetulkan proposal dan menghantar kepada penyelia seterusnya dihantar ke bahagian penyelidikan KPM dan insyallah bermula pada Disember - Januari, cikgu akan berkampung di beberapa sekolah berasrama penuh bagi menyiapkan tesis.

Ada rakan-rakan guru yang menyindir, kenapalah kau nak buat kajian mengenai buli di SBP? Teruk sangatkah SBP? Saya beritahu mereka, bukan bermakna saya nak kaji masalah buli di SBP, SBP teruk. Tapi inilah sedikit sumbangan saya kepada SBP memandangkan SBP khasnya SEPINTAR banyak sekali membantu saya selama ini. Kajian ini bermakna saya prihatin terhadap isu di SBP dan seperti saya jelaskan kepada pelajar, dosa kecil di sekolah lain yang dilakukan di SBP sama darjatnya dengan dosa besar. Barangkali jika awak duduk berdua-duaan dengan berlainan jantina di dalam kelas dianggap kecil di sekolah harian tapi di SBP itu bermakna dosa besar kerana, anda semua bakal pemimpin negara. Anda adalah 5% daripada jumlah pelajar yang memohon ke SBP dan 0.01 % daripada keseluruhan populasi pelajar di seluruh negara; SBP hanya menempatkan cream of the cream.

Saya berharap rakan-rakan dan anak didik menyokong kajian yang akan dibuat ini kerana signifikan kajian ini adalah untuk menyuntik celik akal khasnya kepada guru kaunseling akan peri pentingnya mengetahui aspek teoritikal dan betapa melalui teori kita lebih mudah mendiagnosis dan memahami pelajar bermasalah dan celik akal kepada semua tentang sebab-musabab seseorang pelajar pintar seperti di SBP menjadi pembuli. Kepada sekolah-sekolah yang akan saya kaji, janganlah skeptikal dengan kedatangan saya nanti seolah-olah saya menganggap sekolah anda paling teruk, bukan begitu. Semua SBP pasti ada sedikit-sebanyak pembuli. Cuma arasnya yang berbeza. Terimalah dengan hati terbuka kerana saya ikhlas hendak memberikan sedikit sumbangan kepada SBP.


Kemudian baru-baru ini, pada 16 November cikgu berpeluang menyampaikan ceramah kepada calon-calon SPM di SBPI Rawang. Seronok dan rindu berjumpa mereka. Alhamdulillah seronok cikgu menyampaikan tips-tips peperiksaan kepada mereka.
Malah menyanyi pula bersama mereka. Nyanyian motivasi. Kan cikgu pandai berkaraoke. Huhu.

Ironinya bila cikgu buat tinjauan ringkas mengenai kebimbangan mereka menjelang peperiksaan, ramai yang stress kerana ibu bapa menaruh harapan terlalu tinggi kepada mereka dan takut blank/black out masa peperiksaan. Kepada anak didik cikgu, tukarlah harapan ibu bapa yang tinggi sebagai satu cabaran okay. Anggaplah bahawa harapan mereka sama ada dituturkan dalam bentuk positif atau negatif sebagai cabaran kepada anda untuk membuktikan bahawa anda boleh, mampu meraih kejayaan. Selebihnya sandarkan kepada Allah s.w.t. kerana Dialah yang Maha Berkuasa menentukan gagal atau jayanya kita.

Dan perbanyakkan selawat, doa, ketika dilanda stress masa peperiksaan. Tips cikgu ialah bila blank masa peperiksaan, tarik nafas dalam-dalam. Kemudian tekup kedua belah tangan, bagaikan berdoa tapi tangan dirapatkan, bawa ke mulut anda. Bacalah selawat, doa dengan khusyuk minta Allah tenangkan hati dan jiwa kemudian hembuskan perlahan-lahan. Tangan tadi leraikan ke bawah. Apapun ingat pada setiap masa, Allah jualah pembantu, kaunselor, teman, pendengar paling hebat....yang penting anak-anak semua usahalah yang terbaik, selebihnya bertawakal kepada Allah. Ingat selalu walau apapun Allah beri atau uji, ada hikmahnya. Pada hari cikgu beri ceramah di SEPINTAR, cermin kereta cikgu pecah terkena batu pemesin rumput. Alhamdulillah rupanya ada hikmah di sebalik tragedi itu.

Kepada semua anak didik cikgu, baik yang bakal menduduki SPM yang bermula hari ini, di manapun jua, sama ada di SEPINTAR, di sekolah-sekolah lain yang pernah cikgu beri ceramah atau peminat Bicara Mentor e@siswa atau sesiapa yang mengenali cikgu, baik kepada calon STPM, matrikulasi, universiti dalam dan luar negara, termasuk anak-anak didik cikgu di serata pelosok dunia dan kepada semualah....selamat menduduki peperiksaan dan ingat Allah tetap sayang kepada kita. Jumpa lagi....

0 comments:

Teknik Mencari Wang Percuma Di Internet.
Muat turun laporannya secara PERCUMA di sini !!

Pertanyaan




Form View Counter

About This Blog

Blog ini adalah milik Cikgu Esa Abd Samad. Blog mencatatkan aktiviti Cikgu Esa sebagai seorang kaunselor dan perunding motivasi.


Artikel Terkini

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP