KISAH MURID OKU YANG GIGIH DAN BICARA MENTOR YANG DITAMATKAN

>> Wednesday, November 18, 2009

PADA suatu hari, cikgu terpandang gambar murid comel yang bernama M. Shahril Roslan ini dalam akhbar Utusan Malaysia. M. Shahril Roslan adalah murid Tahun Satu yang amat gigih. Ditakdirkan Allah tubuhnya kurang upaya, dia menghadapi masalah cacat anggota dan tidak mampu berjalan ke sekolah seperti insan yang lain. Tetapi aduhai gigihnya Shahril tega ke sekolah berbekalkan papan seluncur yang dihadiahkan oleh Utusan Malaysia. Ini kerana selama ini Shahril terpaksa berkongsi dengan abangnya yang juga merupakan OKU dan mereka terpaksa bergilir ke sekolah.

Mengenangkan kisah Shahril, akhirnya cikgu pasrah dengan sebuah ketentuan takdir yang diterima pada 18 November, 2009. Sewaktu bertemu editor e@siswa, Encik Hamzah Sidek atau dikenali sebagai Achiek, dia membayangkan pada tahun hadapan ruangan Bicara Mentor dalam e@siswa akan ditamatkan dan khidmat cikgu sebagai penulis juga bakal ditamatkan.

Cikgu sekadar melemparkan senyuman kepada editor itu biarpun hati ini berasa sebak. Sebak bukan mengenangkan tidak lagi menjadi penulis tamu e@siswa tetapi mengenangkan emel-emel kiriman peminat ruangan itu yang tidak akan lagi menghiasi dada majalah berkenaan. Kepada peminat Bicara Mentor, maafkan cikgu kerana ini semua ketentuan Illahi. Menurut Achiek, ini bukan kehendak dirinya tetapi arahan pihak pengurusan Karangkraf yang ingin memotong belanjawan tahunan pada tahun hadapan, sekaligus mengorbankan juga beberapa kolumnis. Kepada Achiek dan seluruh editorial e@siswa termasuk En Shahrom, bekas editor e@siswa yang sekarang sudah menjadi ketua editorial majaah, cikgu ucapkan terima kasih dan maaf atas segala keterlanjuran/kesilapan kata, terumpat, dan halalkan honorarium/bayaran penulisan selama ini. Begitu juga dengan pengurusan Karangkraf dan sudah tentu isteri cikgu yang melatari kejayaan cikgu sebagai penulis. Terima kasih kepada semua anak didik, peminat dan pembaca e@siswa.

Cikgu merenungi ini semua sebagai hikmah daripada Allah s.w.t. Pasti ada hikmah di sebalik kepahitan yang harus diharungi ini. Akhirnya bagi cikgu mungkin ini bermakna tahun hadapan adalah tahun titik perubahan dalam hidup cikgu...daripada bergelar kolumnis majalah remaja/pelajar kepada insyallah menjadi penulis profesional yang akan menulis dalam jurnal-jurnal dan penerbitan berwasit mengenai pelbagai kajian yang cikgu hasilkan sebagai pelajar dan bakal graduan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling).

Firman Allah swt dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 116 antara lain bermaksud:
"Boleh jadi ada perkara kamu benci tapi itulah yang terbaik buat kamu, boleh jadi ada perkara kamu sayangi tapi itulah yang terburuk buat kamu." Jadi ada kala dalam hidup kita diuji dengan kepahitan, penderitaan, perpisahan, kesusahan tetapi sebenarnya ingat Allah hendak mengangkat darjat kita.

Kepada semua peminat cikgu dalam kolum Bicara Mentor, e@siswa, cikgu menghulurkan jari memohon maaf kerana kita tidak lagi dapat bersama mulai tahun hadapan dalam majalah berkenaan. Tetapi ingat, kita masih boleh berkomunikasi dalam blog cikgu ini, dan juga anak-anak didik cikgu boleh saja membaca buku karya cikgu, Menuju Puncak Kecemerlangan: Tips Sukses dari A ke Z dan Belajar Santai, Impak Maksima.

Dan dalam kesibukan cikgu menghasilkan tesis, insyallah cikgu akan terus berkarya. Niat cikgu adalah untuk menghasilkan buku seakan La Tahzan untuk renungan anak-anak didik cikgu. Insyallah dalam bentuk santai dan menarik sekali. Sesuatu yang penting, buku itu kelak insyallah menjadi teman kala anak-anak didik cikgu, malah rakan-rakan yang membaca blog ini untuk mengubati hati kala lara, merawat jiwa kala sengsara. Dalam istilah kaunseling, buku ini akan menjadi Biblioterapi....

Akhir kata, bagi anak-anak didik cikgu, rakan-rakan yang sering diuji Allah renungi cerita ini. Pada zaman dahulu kala, ada seorang Raja mempunyai penasihat yang setia. Penasihatnya ini sering memberikan tazkirah kepada baginda, setiap sesuatu kejadian ada hikmahnya. Ditakdirkan Tuhan, pada suatu hari, baginda bersama penasihatnya sama-sama menikmati buah epal masak ranum di kebun epal. Tiba-tiba baginda teringin mengupas sendiri buah epal itu biarpun dilarang pembantu-pembantu baginda. Ketika mengupas buah epal itu, tiba-tiba pisau itu terhiris pada jari baginda lalu jari baginda terputus dua dek terlalu tajam pisau itu. Lalu baginda dikejarkan berjumpa tabib. Ketika penasihat baginda melawat dan terlihat jari baginda yang kudung itu, beliaupun memberitahu; tuanku, pasti ada hikmah di sebalik ketentuan Allah ini. Lalu baginda menjadi murka lantas memerintahkan penasihatnya dipenjarakan.

Kemudian, pada suatu hari baginda pergi memburu ke dalam hutan. Entah bagaimana baginda tersesat dan terpisah jauh daripada pengikut-pengikut dan pembantu-pembantu baginda yang mengiringi di belakang. Ini kerana entah mengapa kuda baginda terlalu pantas berlari. Dipendekkan cerita, akhirnya baginda termasuk ke dalam jerat yang dipasang oleh sekumpulan orang primitif yang hidupnya makan orang. Merekapun gembira kerana dapat memerangkap manusia lalu baginda dibawa berjumpa ketua mereka untuk direbus hidup-hidup dan diratah. Namun ketika dibawa berjumpa ketua, ketua mereka enggan makan daging baginda dan memerintahkannya dibebaskan. Mengapa agaknya? Tunggu dalam bicara cikgu seterusnya....wassalam

0 comments:

Teknik Mencari Wang Percuma Di Internet.
Muat turun laporannya secara PERCUMA di sini !!

Pertanyaan




Form View Counter

About This Blog

Blog ini adalah milik Cikgu Esa Abd Samad. Blog mencatatkan aktiviti Cikgu Esa sebagai seorang kaunselor dan perunding motivasi.


Artikel Terkini

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP