25 NOVEMBER YANG HILANG AURA!

>> Wednesday, November 25, 2009

Saat dilanda kekalutan, terasa seronoknya jika dapat menjadi kanak-kanak
kecil ini...seronok hampir sepanjang masa, bebas berekspresi emosi (Gambar hiasan: Anak cikgu ketika meraikan konsert dan graduasi Tadika Balqis, pada 22 November - 4 dari kiri- Puteri Aisyah Aqilah)

ENTAH mengapa tarikh 25 November 2009, cikgu serba kekalutan dari pagi sampai ke malam. Ada waktu-waktunya hati ini bagaikan mengamuk, memberontak...dek serba kekalutan! Awal pagi lagi dah mula bengang kerana buku yang dipinjam daripada Pusat Sumber UPSI hilang.

Bayangkan sahaja pagi-pagi lagi, selepas menghantar isteri ke pejabat di Shah Alam, cikgu menjenguk duit di ATM. Harapan tinggi melihat dapatlah duit KWSP (cikgu bertukar dari skim KWSP ke pencen dan layak memohon pengeluaran berpencen) dalam RM 20,000 ke RM 30,000. Subhanallah! Tup tup tengok duit adalah dalam RM 5,000.00. Hati dah mula bengang! Kemudian memandu sampai ke UPSI, pergilah pula ke bendahari UPSI mengadu bayaran mengajar tutorial yang tidak dibayar penuh. Pihak bendahari yang mengkaji sepintas lalu melihat tiada apa-apa masalah bagaimanapun berjanji menyiasat lebih lanjut. Hati bertambah bengkak! Sampai ke Pusat Sumber, berjumpa rakan-rakan untuk berbincang mengenai kajian, mereka pula asyik memperli sahaja. Hati kian panas. Kemudian ambil perisian N Vivo daripada sahabat, tapi tak boleh bukalah pula kat laptop. Sabar ajelah. Selepas itu, sms dengan Dr Jazimin, Penyelia Tesis. Dr Jazimin telefon dan meminta cikgu segera menguruskan permohonan EPRD (Bahagian Penyelidikan KPM) kerana dengan tajuk Buli yang cikgu pilih katanya, memungkinkan kesukaran menembusi sekolah nanti. Berdebar rasa hati mengenangkan cabaran yang akan dilalui nanti.

Petang itu juga cikgu berkejaran pula ke fakulti untuk menguruskan EPRD. Mujur senyuman manis kerani di fakulti, Nazrah, menyejukkan sedikit hati yang kian panas. Selepas menguruskan permohonan ke EPRD, cikgupun balik dan bermatlamat hendak segera ke pejabat KWSP di Batu Caves bertanyakan soal pengeluaran berpencen dan hendak ke Pejabat PTS menghantar gambar dalam CD kepada En Roslan. PTS hendak menerbitkan Katalog Pendidikan yang akan mengandungi profil diri cikgu selaku penulis. Di pertengahan jalan, Along (Editor) Fajar Paker menelefon. Mungkin nak beritahu novel terbaru cikgu, Teratak Nur Kasih sudahpun diterima dan bakal diterbitkan! Tapi oleh kerana tengah dalam perjalanan, beliau menangguhkan hasrat menelefon hingga ke pukul 4 petang. 4 petang, cikgu tiba di Pejabat PTS, cikgupun menghantar SMS kepada Along tup tup bateri telefon kong! Punah! Lepas tu naik ke pejabat PTS, ingat nak bagi aje CD kepada En Roslan atau mana-mana staf, lepas tu mereka tengok gambar yang dihantar tidak begitu ngam, mereka ambil gambar cikgu yang dalam keadaan sangat 'natural' dan penuh keselambaan dalam studio. Ah! Lantaklah cikgu cakap dalam hati. Bergambar ajelah kat studio.

Selepas itu jam menunjukkan hampir 5 petang. Bergegaslah pula ke KWSP Batu Caves. Apabila mendengar penjelasan pegawai KWSP, cikgu insaflah tak dapat duit banyak kerana sudah terlalu kerap membuat pengeluaran untuk rumah, pendidikan dan pelaburan di Public Mutual. Hampalah lagi. Kemudian bergegas ke Shah Alam mengambil isteri seterusnya anak-anak di Taska. Anak-anak pula macam-macam ragam. Begitu juga dengan ibunya. Sewaktu singgah di pasar malam, berjam-jam siibu berlegar-legar bersama sianak sementara cikgu bersama anak-anak yang lain, yang merengek dan mengamuk serba kekalutan dalam kepenatan. Seterusnya bawalah pula anak yang sulung ke klinik kerana dia demam.

Apabila balik ke rumah, dalam pukul 10 malam, cikgu sudah terlalu kepenatan. Anak-anak macam biasalah. Merengek, mengamuk, menangis dan sebagainya. Apabila dilanda kekalutan begini, sememangnya cikgu berasa amat tertekan.

Namun setiap kali hati diamuk tekanan macam-macam, akhirnya cikgu kembalilah kepada fitrah. Ahhh!! Bukankah semua ini adalah persekitaran dan cikgulah yang memilih sama ada hendak respons kepada persekitaran yang dilalui ini dengan hati yang bengkak atau berasa tenang melalui segalanya.

Kadang-kadang kita menyalahkan persekitaran; rakan-rakan, anak-anak, isteri, kakitangan awam, jalan sesak dan sebagainya yang menyebabkan kekalutan dalam diri. Lantas mengamuk tak tentu pasal. Sedangkan dengan mengamuk itu hati menjadi tidak tenteram. Dan apalah sudahnya dengan mengamuk, membebel, tak tentu pasal. Bukannya boleh selesaikan masalahpun. Setiap kali cikgu berasa gelisah, tertekan sewaktu mengalami episod-episod yang hilang auranya, cikgu akan mengenangkan Teori Pilihan yang cikgu jadikan landasan kajian. Sebenarnya kata Glasser (1998), bukan faktor persekitaran yang harus disalahkan menyebabkan kita kekalutan, tapi kitalah yang memilih untuk jadi kalut. Tiada sesiapapun di luar sana yang boleh menyebabkan kita kalut kalau kita enggan. Kata Glasser (1998):

"Choice Theory explains that, fo all practical purposes, we choose everything we do, including the misery we feel. Other people can neither make us miserabel nor make us happy. All we can get form them or give to them is information. But by itself, information cannot make us do or feel anything. It goes into our brains, where we process it and then decide what to do."
(Pg 4-5).


Lagipun apalah untungnya membiarkan diri dilanda kekalutan. Cikgu teringat kata-kata Richard J Davidson, golongan yang optimis lebih sihat daripada orang yang pesimis kerana hormon kortisol dalam darah lebih rendah dan ini mempertingkat sistem pertahanan badan. Hormon kortisol keluar sewaktu stress bagi golongan ini jauh lebih rendah dan menyebabkannya berasa tenang. Dalam Islam juga sudah tentulah lebih awal lagi menyuruh pengikutnya agar bertenang menghadapi apapun masalah. Ini banyak diterangkan dalam hadis-hadis dan ayat suci Al-Quran seperti ayat seribu dinar yang antara lain bermaksud; barangsiapa bertaqa kepada Allah, maka akan diberikan kepadanya jalan keluar yang tidak disangka-sangka.

Kata Datok Prof Dr Amir Awang, antara guru pertama cikgu dalam kaunseling, kita kena berpegang prinsip look up, look down. Kala dilanda kekalutan, look down, tengok orang yang lebih tidak bernasih baik. Kata Ustaz Zamri (Mari Mengaji), pada zaman Rasulullah, ada seorang sahabat bernama Hadhob mengadu kepada Rasulullah telah diseksa oleh orang kafir lalu baginda menyatakan orang terdahulu lagi teruk diseksa sampai disikat dengan besi. Jadi cikgu membisikkan kepada diri, usahlah kalut walaupun sehari penuh bagaikan kehilangan aura. Bertenang dan bersabarlah kerana setiap kejadian Allah ada hikmahnya....mungkin Allah ingin mengujiku untuk memberikan rezeki kepadaku atau mengangkat darjatku atau setidaknya sebagai kifarah penebus dosa-dosaku. HambaMu pasrah Ya Allah!! Aku bersyukur kepadaMu Ya Allah, deritaku tidak seteruk hambaMu yang diuji dengan banjir seperti di Pantai Timur, bencana dan malapetaka seperti hambaMu di Padang, peperangan seperti di Palestin....

0 comments:

Teknik Mencari Wang Percuma Di Internet.
Muat turun laporannya secara PERCUMA di sini !!

Pertanyaan




Form View Counter

About This Blog

Blog ini adalah milik Cikgu Esa Abd Samad. Blog mencatatkan aktiviti Cikgu Esa sebagai seorang kaunselor dan perunding motivasi.


Artikel Terkini

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP