KISAH ORANG TUA DAN KETAM DI PINGGIR PANTAI

>> Tuesday, November 24, 2009

a
ALHAMDULILLAH pada hari Isnin, 23 November 2009, luahan hati cikgu dalam blog ini iaitu mengenai isu UPSR yang juga telah dihantar ke Berita Harian telah disiarkan oleh akhbar tersebut. Seronok cikgu melihat emel cikgu ke Berita Harian disiarkan.

Seronok bukan kerana nama telah masuk akhbar. Bagi cikgu ini biasa sahaja kerana telah sekian lama cikgu menjadi penulis kolum majalah Dewan Siswa, Dewan Pelajar, Fokus SPM dan e@siswa (catatan - mulai Januari tahun depan, semuanya jadi sejarah kerana cikgu berhenti sepenuhnya menjadi kolumnis). Namun yang menjadikan cikgu teruja ialah suara hati cikgu akan sampai ke pengetahuan masyarakat sepenuhnya yang mungkin tidak mengunjungi blog cikgu dan akan sampai ke pengetahuan Kementerian Pelajaran yang bertanggungjawab. Moga-moga ada yang akan memahami isu yang cikgu sampaikan iaitu semua pihak harus menganalisis secara adil keputusan peperiksaan dan bukan sekadar memuja muji yang cemerlang sebaliknya gagal bermuhasabah tentang kealpaan yang dilakukan.




Cikgu bergambar dengan anak-anak di pantai Lido, Johor Bahru beberapa
tahun dahulu. Sekadar gambar hiasan.

Anda tentu masih ingat hasrat cikgu bercerita kisah orang tua di tepi pantai dan sekumpulan ketam. Pada zaman dahulu, tersebutlah kisah seorang tua asyik memungut ketam-ketam yang berlonggok di tepi pantai, selepas berlakunya tsunami. Beribu-ribu ekor ketam, siput laut dan karangan laut terdampar di pinggir pantai. Ada hidupan laut itu yang nyawa-nyawa ikan.

Orang tua itu mengambil seekor demi seekor ketam-ketam, siput laut dan karangan yang nyawa-nyawa ikan lalu mencampakkannya ke laut. Ada seorang budak kecil melihat telatah orang tua itu lalu mentertawakan perbuatannya yang dianggap sia-sia itu.

"Atuk, apalah gunanya atuk memungut ketam-ketam ini dan mencampakkannya ke dalam laut?" Ujar budak kecil itu.

"Kenapa cucu nak cakap macam tu?" Sanggah siorang tua yang terkesima mendengar teguran tiba-tiba itu.

"Bukankah beribu-ribu lagi ketam terdampar di tepi pantai ini, atuk? Mana mungkin atuk hendak selamatkan semuanya. Atuk mesti letih....sudahlah tu, atuk!" Budak kecil yang baru berumur 10 tahun ini entah mengapa lancar benar menasihati orang tua itu.

Orang tua itu termenung sebentar lalu melemparkan sekuntum senyuman ke arah budak kecil itu.

"Cu, memanglah ketam-ketam dan siput laut ini banyak lagi. Beribu ekor lagi. Atukpun dah tak terdaya. Dah penat. Atuk memang tak larat nak buang semua. Mungkin atuk hanya mampu menyelamatkan beberapa ekor. Tapi itu bukan bererti kerja kita sia-sia, cu. Sekurang-kurangnya walaupun seekor atuk dapat selamatkan dengan mencampakkannya ke laut, itu sudah cukup bererti. Bererti bukan kepada kita, tetapi kepada haiwan-haiwan itu yang sedang bertarung untuk hidup! Bukankah kehidupan itu sangat besar ertinya kepada mereka? Apakah dengan menyelamatkan mereka...memberikan mereka nafas kehidupan bukan sesuatu yang berfaedah??" Ujar 'atuk' lagi.

Budak kecil itu tersengih-sengih mendengar hujah siatuk. Akhirnya baru dia faham betapa pentingnya memberikan kehidupan kepada orang lain, membantu orang lain, biar betapa kecilpun sumbangan kita. Seorang rakan cikgu, Azman, yang sama-sama menyiapkan master di UPSI pernah bertanya, apakah maknanya kita buat pelbagai penyelidikan ni? Berfaedahke? Jawabannya ada pada cerita ketam tadi.

Masalah sosial seperti kes buli, samseng, ponteng dan seks bebas seperti dalam gambar di atas akan terus berleluasa seandainya semua pihak bersikap skeptikal seperti budak kecil dalam cerita di atas. Sikap skeptikal, sikap tak peduli, sikap tak apa dan tak mampu buat apa-apa kerana apalah yang boleh aku buat!

Sebaliknya kita seharusnya, berperanan walaupun dalam sekecil-kecil peranan yang mampu kita lakukan untuk menegakkan yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar. Mengikut kata-kata ulama, seandainya sesebuah kaum itu, membiarkan perkara mungkar berleluasa, tunggulah saat kehancurannya biarpun ada yang soleh/taat kepada Allah tetapi gagal menegakkan yang ma'ruf, mencegah kemungkaran. Kes gempa bumi yang meranapkan beberapa kampung di Padang baru-baru ini cukuplah menjadi iktibar kepada kita. Biarpun ada yang soleh, mengaji al-Quran di kampung itu, tetapi membiarkan maksiat/perkara mungkar/syirik berlaku di kampung berkenaan, maka Allah menurunkan bala.
Kira-kira 15 tahun dahulu, cikgu pernah membantu dua orang pelajar Tingkatan
lima yang dianggap sampah oleh guru-guru sekolah dan pihak sekolah. Akhirnya salah seorang daripada mereka telah menjadi Penolong Pengurus di sebuah KFC dan seorang lagi meraih Pangkat 3 daripada 'dijamin tak lulus.' Apakah ceritanya? Tunggu....

0 comments:

Teknik Mencari Wang Percuma Di Internet.
Muat turun laporannya secara PERCUMA di sini !!

Pertanyaan




Form View Counter

About This Blog

Blog ini adalah milik Cikgu Esa Abd Samad. Blog mencatatkan aktiviti Cikgu Esa sebagai seorang kaunselor dan perunding motivasi.


Artikel Terkini

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP