ADA APA DENGAN BULI?

>> Sunday, November 22, 2009

c


Gambar hiasan (tak ada kena-mengena dengan cerita di bawah):
Gambar anak-anak didik cikgu di SEPINTAR (batch lama)-mungkinkah ada yang menjadi pembuli? He he...gurau aje

CIKGU mengucapkan terima kasih kepada Gek, iaitu salah seorang bekas pelajar cikgu di SEPINTAR, yang sudi shout dalam blog cikgu dan menyatakan kesudian untuk ditemuduga berkaitan kes buli.

Mungkin ramai tertanya-tanya ada apa dengan buli, yang menyebabkan cikgu tertarik dengan kajian ini? Segala-galanya bermula setahun yang lalu, ketika cikgu bersemuka buat kali kedua dengan Dr Ahmad Jazimin, penyelia tesis cikgu. Dr Jazimin juga sebenarnya pernah bertugas sebagai kaunselor di Sekolah Datok Abd Razak (SDAR).

Pada pertemuan pertama, cikgu mengemukakan proposal pertama, iaitu berkaitan keberkesanan bengkel merancang kerjaya. Cikgu pada awalnya hendak membuat kajian mengenai kerjaya dalam kalangan pelajar. Namun selepas Dr Jazimin menyemak proposal itu bersama pensyarah lain yang lebih kanan, seperti Prof Madya Dr Abdul Malek, proposal itu ditolak. Beliau mencadangkan cikgu membuat kajian mengenai tingkah laku buli di sekolah berasrama penuh, berlandaskan Teori Pilihan (
Choice Theory). Dr Jaziminpun bercerita panjang lebar mengenai Teori Pilihan dan tingkah laku buli. Malah yang lebih ironi, beliau mengemukakan kerangka kajian lagi.

Apabila balik daripada pertemuan itu, cikgu termenung panjang. Pertama, rasa kecewa kerana proposal pertama ditolak. Namun selepas membuat perhitungan panjang, cikgu berminat dengan kajian yang dicadangkan. Pada awalnya tajuk kajian ialah Memahami Tingkah laku Buli daripada perspektif Teori Pilihan: Kajian Kes di Sebuah SBP namun kini tajuk ini menjadi Tingkah Laku Buli Daripada Perspektif Teori Pilihan: Kajian Kes di SBP.


Dr Ahmad Jazimin (empat dari kanan) bergambar dengan cikgu sewaktu Persidangan Kaunseling Kebangsaan (PKK) di Hotel Golden Palace Horses pada 3 - 5 November yang lalu.

Mengapakah cikgu tiba-tiba berminat? Pertama, cikgu merasakan kajian ini adalah sumbangan cikgu kepada SBP. Cikgu telah berkhidmat di SBP selama enam tahun (2003 - 2009) termasuk dalam tempoh cuti belajar, dan SBP menyumbang cukup banyak dalam perkhidmatan cikgu sebagai guru khasnya di SEPINTAR. Di SEPINTAR, cikgu berpeluang menjadi panel penulis tiga modul kaunseling terbitan SBP KPM, menerima anugerah Hadiah Karya Kencana DBP dua tahun berturut-turut (2003, 2004 - walaupun tiada kena mengena dengan SBP tapi cikgu menerima rezeki ini sewaktu bertugas di SBP), menjadi jurulatih kursus kepimpinan peringkat kebangsaan (SBP), mengikuti kursus dalam perkhidmatan kaunseling di institut perguruan, menerma Anugerah Khidmat Cemerlang (2005), mendapat anjakan gaji, mendapat kenaikan gred gaji dari DG 41 k DG 44 dan kini menunggu ke DG 48, lulus PTK 41, 44 dan yang terhebat menerima anugerah biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat master. Jadi, apa salahnya cikgu menyumbangkan sesuatu untuk SBP?

Keduanya, kajian mengenai tingkah laku buli. Mungkin ada yang skeptikal terhadap kajian ini dari dulu sampai sekarang. Seorang warden di SEPINTAR bertanya kepada cikgu, tidakkah kajian ini seakan-akan hendak memburukkan imej sekolah? Subhanallah. Tidak terniat di hati cikgu hendak memburukkan SBP dengan kajian ini. Lantaran itu, dalam metodologi kajian, cikgu perluaskan kepada multiple site single case, maknanya kajian di beberapa SBP, bukan hanya sebuah SBP. Maknanya fenomena ini global bukan hanya di sesebuah SBP.

Masalah tingkah laku buli, bukan sahaja di SBP, malah di sekolah-sekolah berasrama seperti SM Teknik, SMA, SMH kawalan dan MRSM, sebenarnya bagi cikgu adalah ibarat habuk yang terselindung di sebalik karpet. Mungkin ramai orang yang baru kali pertama berkunjung ke sesebuah sekolah, melihat wajah-wajah kacak pelajar di sekolah berasrama ini, tidakpun menduga ada antara mereka sebenarnya terlibat dengan buli. Berdasarkan pengalaman sebagai guru kaunseling di SEPINTAR dan bersembang, menimba pengalaman rakan-rakan kaunselor yang lain, banyak tingkah laku yang 'tersembunyi' atau disifatkan sebagai masalah di dasar laut. Macamlah kita masukkan air paip ke dalam botol, kita lihat airnya begitu jernih. Simpan beberapa hari, anda akan lihat keladak-keladak kecil di dasar botol itu. Jelasnya bohonglah andainya tingkah laku seperti ini langsung tidak berlaku hatta di sekolah yang kesemuanya perempuanpun.

Bagi cikgu, mengkaji masalah ini bukan bererti memburukkan institusi perdana seperti SBP. Pandanglah daripada kaca mata positif. Pertama, kita sebagai warga pendidik harus mengakui hakikat masalah ini berlaku di mana-manapun. Baik di SBP, SMA, SMH, MRSM ataupun di mana-mana institusi pendidikan, hatta di universiti ataupun kolej. Namun isu ini, jika berlaku di institusi perdana seperti SBP haruslah dipandang berat, biarpun prevalensnya kecil sekali. Ini kerana SBP adalah merupakan landasan pertama bagi melahirkan pemimpin. Pemimpin negara, seperti Datok Dr Awang Adek Hussein, Tan Sri Dr Isa Samad, Datok Seri Anwar Ibrahim (pemimpin pembangkang) adalah lepasan SBP. Justeru, sekecil-kecil dosa bagi pelajar sekolah harian bagi cikgu adalah sebesar-besar dosa bagi pelajar SBP kerana mereka adalah bakal pemimpin.


Ada pula yang memandang masalah yang ingin cikgu kaji ini sebagai lapuk. Ada pensyarah yang memperlekeh kajian ini dengan menyatakan, apalah awakni nak kaji tentang buli, itu masalah yang sudahpun beratus tahun? Betul, mengikut pengkaji seperti Olweus, Rigby dan sebagainya, masalah buli sudahpun berlaku di dunia ini sejak abad ke-18. Namun apakah masalah ini sudah selesai? Sampai sekarang di negara kita masih berdebat mengenai hukuman paling sesuai; rotan atau kaunseling? Sampai sekarang, isu buli masih diperkatakan, malah kini sudahpun disiarkan dalam Youtube. Tak percaya, klik aje perkataan buli di sekolah, dalam laman Youtube. Malah yang lebih menakutkan gejala ini biarpun tampak kecil dari segi statistik, namun kesannya amat pedih; trauma, kemurungan malah kecederaan parah dan kematian.

Sebab itu masalah ini perlu dikaji. Kajian ini penting untuk mengkaji secara mendalam, melalui kajian kes yang menggunakan metodologi kualitatif (temuduga mendalam), untuk memahami betul-betul mengenai punca-punca seseorang itu sanggup membuli orang lain. Kajian ini pula berlandaskan Teori Pilihan, salah satu teori kaunseling yang mula popular kini yang menjadi landasan Terapi Realiti. Ini kerana cikgu ingin melihat sejauh manakah teori boleh digunakan untuk memahami masalah pelajar dan ini juga bagi menjawab perdebatan intervensi yang sesuai - hukuman corporal seperti rotan ataupun kaunseling. Kajian menunjukkan kaunseling masih dipandang sepi oleh sesetengah pihak dan kajian juga menunjukkan kaunselor kurang bersesi dan kurang mengaplikasikan teori dalam sesi (Zuria dan Ahmad Jazimin, 2008).

Kepada pembaca blog ini, yang berasal dari SBP mahupun mana-mana sekolah berasrama yang lain, yang sudi ditemuduga untuk kajian rintis, silalah berhubung dengan cikgu di talian 017-3436570 dan kita aturkan satu sesi pertemuan. Terima kasih kerana membantu cikgu merungkai masalah sejagat ini. Moga-moga dengan kajian ini dan bantuan anda semua, kita dapat membantu menangani masalah ini seperti kisah Orang Tua dan Ketam di pantai. Apakah kisahnya...tunggu!

0 comments:

Teknik Mencari Wang Percuma Di Internet.
Muat turun laporannya secara PERCUMA di sini !!

Pertanyaan




Form View Counter

About This Blog

Blog ini adalah milik Cikgu Esa Abd Samad. Blog mencatatkan aktiviti Cikgu Esa sebagai seorang kaunselor dan perunding motivasi.


Artikel Terkini

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP