KISAH GADIS BERNAMA AZWA...
>> Saturday, November 21, 2009
Gambar hiasan: Anak-anak didik cikgu yang berjaya ke luar negara
dengan tajaan JPA. Antaranya, Arinamaya (yang di tengah-tengah)
kini mengikuti pengajian sains aktuari di Amerika Syarikat
(Gambar mereka tiada kena-mengena dengan cerita berikut)
dengan tajaan JPA. Antaranya, Arinamaya (yang di tengah-tengah)
kini mengikuti pengajian sains aktuari di Amerika Syarikat
(Gambar mereka tiada kena-mengena dengan cerita berikut)
PADA suatu hari cikgu berziarah ke sekolah kerana ingin mengambil beberapa dokumen, selepas selesai internship. Sewaktu berjalan ke kantin untuk minum, seorang pelajar (ah...kita namakan aje gadis kerana dia pelajar perempuan 16 tahun), bernama Azwa (bukan nama sebenar), tiba-tiba memanggil cikgu dari tingkat 1.
"Cikgu...tunggu sekejap!" Cikgu lantas menoleh ke atas. Ahh! Cikgu amat mengenali suara dan kelibat gadis itu. Azwa adalah salah seorang ahli kelompok kaunseling cikgu sewaktu internship. Azwa tersenyum melihat cikgu menoleh ke arahnya.
"Okay, Azwa! Cikgu tunggu di bawah...ada apa ye?" Seperti biasa cikgu memang amat responsif terhadap pelajar. Biarpun perut berkeroncong kerana ketika itu matahari sudahpun terpacak di atas jubun-jubun kepala, cikgu tetap berminat melayani masalah pelajar.
Dalam beberapa minit, Azwa sudahpun terpacak di bawah. Cikgu mempelawanya duduk di kaki lima Dataran Raudhah, tempat perhimpunan pelajar. Di situ ada tempat duduk yang selesa. Azwa pada mulanya bertanyakan khabar cikgu kerana sudah agak lama cikgu tidak berziarah ke sekolah.
Kemudian, air matanya seakan bergenang. Cikgu perasan Azwa menahan kesedihan yang bergejolak dalam dada.
"Azwa, apa ceritani...hmm...awak kelihatan sedih!" Cikgu cuba meneka dalam kesamaran.
"Hmm...yelah cikgu...Azwa tengah sedih sangatni!" Ujar Azwa sambil menyapu air matanya dengan tangan. Kasihan! Ketika itu cikgupun tak bawa sapu tangan atau tisu. Ah! Lagipun kata Dr Halimatun, pensyarah cikgu dalam kaunseling ketika di UPM, bagi klien yang sedang menangis, biarkan aje dia menangis, jangan cepat-cepat berikan sapu tangan. Air mata ibarat hujan, selepas hujan akan tampaklah udara segar mengandungi ozon/oksigen.
"Hmm...okay...apa agaknya yang Azwa sedihkan?" Cikgu meneroka masalah Azwa. Sebetulnya ketika itu bukanpun cikgu melakukan sesi kaunseling cuma sekadar intervensi. Kaunseling memerlukan sesi yang lebih formal.
"Cikgu, saya fail baru-baruni dalam ujian. Itu yang saya sedih sangat!" Azwa bercerita.
"Okay...teruskan!" Cikgu menggalakkan Azwa bercerita menggunakan dorongan minimum dalam kaunseling.
"Hmm...ni haa...kertas PQS (Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah), Azwa cuma dapat 67%...uhuk...uhuk...sedih sangat cikgu! Napelah Azwa tak dapatpun A. Kawan-kawan Azwa semuanya dapat...." Azwa terus bercerita dengan lancar.
"Hmm..oh, Azwa begitu sedih tak dapat skor dalm PQS...macam kawan-kawan Azwa!" Cikgu meneruskan bicara dengan membuat refleksi.
"Yelah cikgu...sedihlah. Orang dah berusaha, tapi tak dapat..."
"Okay, Azwa dah berusaha sebaik mungkin, kan! Azwa juga tentu ingat, kita sebagai manusia hanya mampu berusaha, selebihnya di tangan Allah. Ada kalanya Allah ingin menguji kita sebagai hambaNya....ada kalanya ada hikmah di sebalik setiap ujianNya..." cikgu menggunakan pendekatan psikologi kognitif ad-Din melalui penerapan ma'rifat dalam sesi intervensi ringkas itu. Cikgu tidakpun menggunakan pendekatan kaunseling kerana Azwa hanya dapat berjumpa sekejap sahaja kerana dia ada kelas.
"Agaknyalah, cikgu kan?" Azwa mula berfikir.
"Iyelah...lagipun adakah semestinya apa yang kita usahakan itu akan dapat apa yang kita mahukan?" Cikgu terus menggunakan teknik kaunseling dalam sesi ringkas itu.
"Hmm...sebenarnya sikit aje lagi nak dapat 70. Kalau 70, dah boleh dapat gred A, cikgu. Hmm...agaknya keputusan saya dapatni nak berikan pengajaran kat saya cikgukan..." ujar Azwa.
"Okay, maksud Azwa?"
"Maksudnya saya kenalah berusaha lebih gigih lagi. Lagipun saya bukanlah gagal sangatpun cuma sikit aje. Ahhh...agaknya saya je yang terlalu bimbang. Saya tengokkan cikgu, kawan-kawan saya ada je yang dapat lagi rendah...releks aje diorang." Azwa seakan mula mendapat celik akal.
"Alhamdulillah Azwa dah nampak sikit. Sebenarnya kan Azwa, bukan sesuatu peristiwa yang kita alami menyebabkan kita terjerut dalam masalah. Sebenarnya cara kita melihat hal yang kita alami itu. Sebenarnya Azwa bagus kerana Azwa agak bimbang dengan keputusan yang keluar. Kebimbangan sedikit itu okay, menunjukkan Azwa insaf dan ingin bekerja lebih gigih selepas ini. Cuma bila kebimbangan itu keterlaluan, Azwa fokus kepada hikmah di sebalik peristiwa yang dialami. Mungkin dengan keputusan sebegini, Azwa akan lebih bersedia pada tahun hadapan, lebih bersemangat untuk ke puncak kecemerlangan. Kegagalan pada peringkat awal bukan penyudah dalam hidup. Cikgu pernah berjumpa pelajar yang pernah meraih gred C dalam Geografi dalam PMR tapi akhirnya dapat 8 A, kemudian 9 A dalam SPM dan kini belajar di Jepun...dengan tajaan JPA!" Cikgu cuba merumuskan sesi itu kerana nampaknya pelajar-pelajar sudah masuk ke kelas dan Azwa juga memberikan isyarat dia ingin bergegas kembali ke kelas.
"Hmm...okay, cikgu. Terima kasih cikgu. Insyallah Azwa akan buktikan Azwa cemerlang selepas ini..." ujar Azwa sambil terus meluru naik ke kelas.
Demikian secebis kisah yang cikgu alami dengan pelajar-pelajar di sekolah. Walaubagaimanapun ruangan ini bukanlah medan cikgu menceritakan setiap masalah pelajar di bilik kaunseling. Masalah yang mereka ceritakan tetap rahsia. Cuma intervensi secara informal begini akan cikgu ceritakan untuk pengajaran dengan merahsiakan identiti mereka. Intervensi bukan semestinya di bilik kaunseling. Cikgu biasa melakukan proses intervensi secara informal dalam perbualan-perbualan biasa dengan pelajar di kantin, di dalam kelas, sewaktu chatting (YM) dan sebagainya.
Apakah yang dapat kita renungi di sebalik kisah Azwa? Azwa adalah gadis periang dan cerdik. Walaubagaimanapun dia obses terhadap kecemerlangan akademik. Obses terhadap kecemerlangan akademik lumrah bagi pelajar khasnya di sekolah perdana seperti SBP atau sekolah kawalan yang lain. Persaingan sengit dalam akademik memang lumrah di sekolah-sekolah sedemikian.
Rasa bimbang jika gagal, kecewa tak dapat A sebenarnya bagi cikgu adalah perasaan normal.. Namun jika kebimbangan itu melampau, sampai menjadikan kita murung, makan tak lalu, tidur tak lena, itu sudah di paras bahaya. Sebenarnya dalam kes Azwa, sesuatu yang penting ialah cara kita fokus terhadap masalah.
Ada orang melihat masalah yang dialaminya sebagai bebanan. Ada orang melihatnya sebagai rahmat. Namun bagi diri cikgu, yang penting ialah kita harus ingat bukannya peristiwa yang dilalui, sebagai penyebab masalah. Hal-hal yang kita lalui adalah ibarat angin yang berlalu, ombak yang menghempas pantai dan hujan yang turun. Persoalannya ialah bagaimanakah kita hendak mengharungi angin yang berlalu, ombak yang bergulung dan hujan yang turun? Pernahkah kita melihat ada orang bermain dengan ombak, malah menjadikannya sukan pula seperti Monsoon Cup di Terengganu? Pernahkah kita melihat ada orang selamba sahaja berjalan di tengah hujan yang turun? Mereka tidak melihat masalah yang melanda sebagai masalah tapi sebagai rahmat. Mereka memilih untuk tidak berasa terlalu gusar.
Apabila kita gagal dalam ujian, peperiksaan dan sebagainya, kita boleh menganggapnya sebagai penyudah dalam kehidupan. Ada pelajar sampai membunuh diri kerana gagal dalam peperiksaan, misalnya tak dapat 5 A dalam UPSR. Namun kita juga boleh menganggap kegagalan itu sebenarnya rahmat. Baru-baru ini cikgu terbaca dalam akhbar akan kejayaan seorang wanita di sebuah negara barat berjaya mendapat lesen selepas 950 kali gagal dalam ujian memandu. Wow! Besarnya jiwa wanita itu. Thomas Alva Edison gagal dalam percubaan mencipta mentol selepas 6,000 kali mencuba. Namun beliau tidakpun menganggap kegagalan itu sebagai masalah hingga membunuh diri. Namun beliau menganggap sebenarnya beliau telah belajar 6,000 rintangan yang menghalang mentol daripada menyala. Bahkan kalau kita belajar Fizik, bukankah rintangan dalam filamen yang menghasilkan haba seterusnya menyalakan lampu? Jadi, berjiwa besarlah dalam hidup.
1 comments:
cg.....
sy rsa btol laa apa yg cg. katakan...
skrang nie sy pon mgalami masalah yg sme.... cuma azwa nie dlam pendidikan... sy dalam bdang ict....
sy harap sy dpt mgubah idup sye...
crita itu smemangnye menarik dan dpt bg pengajaran
Post a Comment