BERDIRI DI ATAS SEPAPAN TELUR?
>> Friday, November 20, 2009
HARI ini, 21 November 2009 adalah detik yang menggembirakan buat diri cikgu, biarpun sedang menunggu dengan khusyuknya gaji yang akan keluar pada 23 November nanti. Ini kerana penantian cikgu untuk menghantar proposal kajian ke EPRD sejak sekian lama akan berakhir minggu depan. Semalam, penyelia tesis cikgu, Dr Ahmad Jazimin bersetuju untuk membenarkan cikgu menghantar proposal yang telah dibetulkan ke EPRD, Kementerian Pelajaran. Leganya rasa ibarat seorang ibu telah berjaya melahirkan anak.
Semalam juga seluruh negara didendangkan dengan lagu lama setiap tahun, iaitu berita kejayaan cemerlang anak-anak kita yang menghadapi UPSR. Pada tahun ini seramai 48, 171 atau 9.51% pelajar memperoleh keputusan cemerlang iaitu meraih gred A dan ini dikatakan peningkatan yang amat memberangsangkan berbanding 9.19% pada tahun sebelumnya. Tahniahlah cikgu ucapkan kepada anak-anak yang berjaya memperolehi kecemerlangan dalam peperiksaan.
Siapalah ibu bapa yang tidak berbangga apabila anak-anak cemerlang?
Media kemudiannya mendendangkan kejayaan cemerlang anak-anak kita yang terdiri daripada OKU, pelajar miskin dan sebagainya tetapi berjaya mendapat 5 A. Baguslah begitu. Ini akan merangsang anak-anak kita agar yakin pada diri, yakin bahawa di sebalik kelemahan ada kekuatan macam gambar ini.
Gambar ini cikgu ambil ketika menganjurkan aktiviti selepas PMR di SBP Integrasi Rawang. Anda mungkin terkejut; gilakah pelajar ini berdiri di atas sepapan telur? Tak takutkah telur itu pecah?
Aktiviti ini sebenarnya adalah salah satu aktiviti yang cikgu lakukan untuk menyemai keyakinan dalam diri pelajar. Jika kamu yakin, insyallah kamu mampu melakukan apa sahaja yang kekadang tidak tergapai dek minda. Telur pada dasarnya adalah objek yang mudah pecah. Balinglah telur ke tanah atau ke lantai, pasti telur akan pecah. Namun jika anda berdiri dengan yakin di atas sepapan telur, insyallah telur tidak akan pecah. Dan inilah yang berlaku terhadap pelajar-pelajar yang terlibat dengan aktiviti itu. Ada juga yang pecah, namun ini berlaku apabila mereka kurang yakin dengan diri sendiri, kurang berstrategi dan kurang bekerjasama (pelajar bekerjasama dalam kumpulan untuk 'mendirikan' seseorang berdiri di atas sepapan telur lalu melepaskannya untuk berdiri sendirian).
Rasional aktiviti ini ialah yakin bahawa di sebalik kelemahan ada kekuatan. Rupanya di sebalik sifat telur yang dianggap lemah, bahagian bucunya amat keras dan jika telur ini diletakkan sekata, maka ia akan menghasilkan kekuatan yang padu dan mampu menampung kekuatan berat badan manusia! Begitulah dengan minda. Sebab itu, sebelum inipun cikgu ada menjelaskan tentang kejayaan seorang insan pekak menggondol anugerah Canselor di sebuah universiti. Maka tidak hairanlah ada murid yang cacat, terpaksa digendong ke sekolah mendapat 5 A.
Namun apakah yang silapnya dalam dendangan keputusan UPSR kali ini? Silapnya bagi cikgu ialah yang diwar-warkan sangat ialah kejayaan cemerlang pelajar. Namun mengapakah media gagal menganalisis perkara-perkara berikut:
1. Jurang yang masih besar dalam pencapaian pelajar di bandar dan luar bandar. Di bandar, kira-kira 31,000 pelajar cemerlang sedangkan di luar bandar, hanya kira-kira 16,000 pelajar yang cemerlang. Ini bermakna nisbah pencapaian adalah bagi setiap dua orang murid cemerlang di bandar, hanya seorang di luar bandar. Mengapakah jurang ini masih wujud dalam keadaan negara sudahpun lebih 50 tahun merdeka? Apakah kemudahan prasarana, kualiti guru-guru, dan sistem pengajaran-pembelajaran di luar bandar masih di takuk lama? Mungkin ada yang menyatakan, di bandar, murid lebih berpeluang untuk mengikuti kelas tuisyen dan sebagainya, namun bukankah peruntukan kerajaan juga begitu besar untuk baucer tuisyen dan penyediaan prasarana pendidikan di luar bandar?
2. Keputusan peperiksaan UPSR juga menunjukkan 319,336 orang atau 63.03% murid meraih markah paling minimum gred C bagi semua mata pelajaran dan 3,266 atau 0.64% meraih gred E bagi semua mata pelajaran. Media langsung tidak menoleh nasib murid-murid yang dianggap terkebelakang ini. Apatah lagi murid yang meraih E dalam semua mata pelajaran. Sesuatu yang diwar-warkan ialah kemerosotan statistik telah berlaku bagi yang meraih gred gagal berbanding pada tahun lepas. Namun sesuatu yang belum terjawab ialah bagaimanakah nasib mereka yang meraih semua E? Apakah KPM tidak menyedari bahawa, berdasarkan dasar pendidikan wajib, mereka ini juga akan naik ke Tingkatan Satu tahun hadapan? Di manakah mereka akan ditempatkan? Bagaimanakah guru-guru hendak menyelia mereka? Cikgu pernah berhadapan dengan pelajar Tingkatan 4 yang tidak tahu membaca dan menulis. Dia menangis apabila cikgu menyusun aktiviti pemulihan dalam kelas (PDK) kerana berasa rendah diri yang amat sangat! Mungkin ada yang berkata, tidak mengapa, bilangan mereka amat kecil. Apalah hendak dihairankan dengan lebih kurang 3,000 orang berbanding lima juta pelajar? Benar, tetapi jika mereka yang gagal ini atau hanya sekadar meraih 3 C, 2 D misalnya tidak diberikan perhatian sewajarnya, mereka mampu menimbulkan masalah tingkah laku delinkuen. Mungkin ada yang akan menjadi pembuli, ponteng sekolah, terlibat dalam pelbagai salah laku disiplin dan jenayah yang lain. Ini kerana pelajar-pelajar pada aras minimum akan berasa bosan berada di kelas yang mementingkan aras akademik!
3. Ujian aptitud dalam kalangan murid yang mengambil UPSR tahun ini juga menunjukkan pentas yang tidak rata dalam dunia pendidikan. Nampak sangat murid kita di sekolah terlalu ditekankan pada dunia akademik apabila 39.21% cenderung kepada akademik, manakala teknik dan vokasional 29.25%, seni (19.26%), budaya dan sosial (9.72%) dan sukan (2.57%). Cikgu tertawa apabila mengamati statistik ini. Patutlah bidang sukan kita merudum sampaikan pasukan bola sepak kitapun tak kemana-mana! Benarlah kata Profesor Khoo Kay Kim, sekolah kita telah kehilangan watak! Pergilah ke mana-mana sekolah, perkara nombor wahid yang ditekankan ialah akademik, akademik dan akademik. Menurut Glasser (1998) yang mencipta Teori Pilihan (Choice Theory) masalah yang berlaku di sekolah-sekolah ialah apabila pelajar-pelajar kita terlalu diasakkan dan disumbat dengan dasar akademik yang mencengkam dan apabila mereka gagal memenuhi kehendak ini, mereka akan dihukum:
The main reason so many students are doing badly and even good students are not doing their best is that our schools, firmly supported by school boards, politicians, and parents, all of whom follow external psychology, adhere rigidly to the idea that what is taught in school is right and that students who don't learn it should be punished. This destructive, false belief is best called schooling.
(Glasser, 1998: 237)
Isu inipun tidak mendapat perhatian dan liputan besar-besaran media. Persoalannya ialah mengapakah murid-murid kita (hampir 40%) lebih fokus kepada hal-ehwal akademik? Apakah dalam kehidupan kita yang singkat ini, aspek lain tidak penting dan tidak berguna seperti aspek kemahiran, seni, budaya, sosial dan sukan? Apakah yang terjadi kepada pelajar yang kurang berbakat dalam akademik tetapi hebat dari segi sukan? Pernahkah anda mendengar Michael Pelphs, seorang juara sukan Olimpik yang meraih 8 pingat emas dalam acara renang...dia adalah seorang murid yang hiperaktif ketika zaman persekolahannya.
4. Akhir sekali, aspek yang juga tidak diberi keutamaan dan liputan ialah ujian aptitud yang menunjukkan hanya 5.7% atau kira-kira 29,000 orang murid yang mahir dalam menyelesaikan masalah. Ujian juga menunjukkan hanya 34.34% murid mempunyai kemahiran berfikir. Aduhai! Dalam pada kita berbangga dengan pencapaian lebih kurang 48,000 murid yang meraih semua A, rupanya kita juga harus bersedih dengan kenyataan pahit; murid kita masih kurang mahir berfikir apatah lagi menyelesaikan masalah. Dalam kajian yang dijalankan oleh Abdul Malek et. al. (2009) ke atas kecerdasan emosi remaja yang memohon profesion perguruan, juga menunjukkan remaja kita hari ini berada pada tahap sederhana dari segi kecerdasan emosi khasnya dari segi ekspresi emosi (peluahan emosi). Mengapakah agaknya media tidak memperkatakan isu ini dalam bentuk forum atau liputan lanjut? Mungkinkah kurangnya kemahiran berfikir ini boleh dikaitkan dengan keterlibatan remaja hari ini dengan pelbagai salah laku? Ini juga, bukankah sekali lagi menunjukkan kegagalan kita dalam melahirkan insan yang seimbang dan harmonis persis Falsafah Pendidikan Negara yang diperkenalkan sejak 30 tahun dahulu lagi?
Hmm...fikir-fikirkan. Oh ya! Sampai terlupa cikgu hendak bercerita tentang hidup ini sebenarnya adalah satu pilihan. Ada kisah seorang pelajar menangis teresak-esak hanya kerana mendapat 67% dalam subjek Pendidikan Islam. Ikuti kisahnya dalam pertemuan akan datang. Jumpa lagi. Wassalam.
0 comments:
Post a Comment