SALAM MAAL HIJRAH...CERITA MENARA PAKU

>> Thursday, December 17, 2009

Menara Paku? Inilah antara aktviti yang biasa cikgu buat bersama sifu motivasi, Cikgu Suhaimi Zaman (bekas PK HEM Sekolah Sultan Alam Shah dan Kaunselor SMS Hulu Selangor, SMS Kuala Selangor, SAS dan kini menjadi kaunselor di Sungai Petani, Kedah).

SALAM Ma'al Hijrah 1431H. Dalam dinihari menyambut ketibaan Ma'al Hijrah, 1 Muharram 1431 H bersamaan 18 Disember 2009, cikgu terharu menerima mesej daripada seseorang..mungkin anak murid atau sahabat yang cikgu tidak kenali (tidak save namanya dan penyampai mesejpun tidak memperkenalkan diri), begini alunan mesejnya:

Kadang kita meminta pada Allah setangkai bunga yang indah, tapi Allah swt berikan kaktus berduri. Kita meminta kupu-kupu, tapi diberikan ulat. Kitapun sedih, kecewa bahkan marah! Namun kemudian kaktus itu berbunga indah sekali dan ulat itu menjadi kupu-kupu yang cantik. Itulah jalan Allah swt indah pada waktu-Nya! Allah tidak memberi apa yang kita perlukan. Kadang kala kita sedih, kecewa, terluka, berburuk sangka. Tapi jauh di atas segalanya, Allah sedang merangkai yang TERBAIK dalam kehidupan kita...agar kita belajar untuk selalu ikhlas dan redha. SALAM MAAL HIJRAH.

Terima kasih kepada pengirim mesej. Begitu juga anak murid cikgu yang lain, seperti Rahmah. Alhamdulillah kita telah tiba ke tahun baru Islam, yang tidak ramai orang mahu menyambutnya besar-besaran seperti tahun baru Masihi. Kita lebih suka berseronok, berpesta menyambut Happy New Year 2010 daripada Maal Hijrah 1431H.

Ada apa dengan mesej di atas? Cikgu sebenarnya sedang berperang dengan emosi sejak seminggu yang lalu. Baru-baru ini cikgu telah memohon kebenaran pihak Bahagian SBP untuk menjalankan kajian di sekolah, iaitu pada tanggal 10 Disember 2009. Cikgu bertemu dengan Pengarah yang seterusnya meminta cikgu menghantar surat memohon kebenaran mendapatkan data/kebenaran kajian. Pada 11 Disember, cikgu terus fakskan surat. Pada 14 Disember cikgu menyusul balas namun Pengarah tiada di pejabat kerana ada urusan luar beberapa hari. Cikgu berhubung dengan pegawai disiplin keesokan harinya dan dia memaklumkan bahawa dia belum maklum berkaitan surat/kebenaran kajian itu. Cikgu agak gusar memandangkan Pengarah akan bercuti mulai 16 Disember hingga 28 Disember 2009. Aduhai! Bagaimana jika cikgu tidak dapat kebenaran sedangkan kajian perlu dilangsaikan dalam jangka masa dua bulan (Januari - Februari 2010) kerana pada awal Mac, cikgu perlu melaporkan diri di Bahagian Biasiswa KPM?

Puas cikgu berkelana, menyoal diri, bermuhasabah mengenai kemelut ini. Ada kala hati jadi patah hendak meneruskan kajian penting ini. Akhirnya hati jadi tenang apabila mendapat mesej di atas. Benarlah...tidak semua yang kita hendak, kita akan dapat di dunia ini. Ada kala mungkin dapat lewat. Ada baiknya cikgu memberikan tempoh bertenang kepada Bahagian SBP dalam jangka waktu dua minggu lantaran cikgu juga harus faham...mereka terlalu sibuk dengan tugas. SBP kini sedang bertungkus lumus membuat persiapan awal tahun, menguruskan kemasukan Pelajar Tingkatan 1 di samping mereka juga punya keluarga yang perlu diurus?

Bahkan dalam Al-Qur'an, ayat 216, surah al-Baqarah, Allah ada berfirman bermaksud:
"....boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, tetapi itu baik untuk kamu. Dan boleh jadi kamu menyenangi sesuatu, tetapi itu tidak baik untuk kamu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui." Cikgu bertafakur pada malam tahun baru ini, beristighfar kepadaNya dan pasrah...pasti ada hikmah di sebalik mehnah dan ujian yang dilalui ini. Moga-moga, dan doakan sahaja Allah mempermudahkan laluan cikgu menghadapi ujian berat ini. Terima kasih juga buat Cikgu Zaki, yang sudi memberi kata-kata semangat; teruskan perjuangan kerana jika cikgu Esa patah hati, sudah tentu rugi sekali para kaunselor dan pengkaji seterusnya yang ingin memanfaatkan hasil kajian kelak...

Ada apa pula dengan cerita Menara Paku seperti gambar hiasan di atas? Anda lihat dan renung paku-paku yang tersusun di atas sebatang paku dalam gambar itu. Tak nampak? Renung sekali lagi betul-betul. Bagaimana agaknya sebatang paku mampu menampung
20 batang paku di atasnya? Macam mustahil aje? Tapi itulah hasil kreativiti dan keyakinan pelajar dalam aktiviti Menara Paku, dalam program motivasi anjuran cikgu.

Falsafah aktiviti ini mudah sahaja. Ada kalanya sesuatu yang dirasakan mustahil itu sebenarnya tidaklah mustahil andai kita yakin pada diri, bijak menyeimbangkan diri, menjalin strategi dan selebihnya pasrah kepada Allah s.w.t. Hubungan cerita paku dengan Maal Hijrah dan mehnah yang cikgu hadapi? Mudah sahaja. Ketika saat-saat kita berasa begitu getir dalam hidup ini, kembali kepada falsafah paku dalam Menara Paku; yakin pada diri, bijak menyeimbangkan diri dan tuntutan sekeliling, fokus pada strategi dan matlamat dan pasrah. Seperkara lagi, falsafah paku itu ialah amanah. Maknanya jika kita yakin dan berintegriti insyallah kita mampu memikul amanah yang berat.

Oh! Ya! Baru-baru ini cikgu mengikuti bengkel OH Counselling, yang dikendalikan oleh Mrs Nicole dari UM dan fasilitator kumpulan cikgu yang cun melecun, Miss Kelly, pelajar psikologi kaunseling UM. Sungguh seronok...hanya dengan bermain kad seperti main terup, kita boleh melegakan emosi daripada dilanda kekusutan jiwa dan meleraikan masalah. Seperkara lagi, rupanya masalah boleh jadi penyelesaian, penyelesaian boleh jadi masalah! Apa dia...jangan pening. Tunggu cerita cikgu akan datang. Ok...selamat Ma'al Hijrah dan berhijrahlah ke arah kecemerlangan yang diredhai Allah s.w.t.



1 comments:

Anonymous January 5, 2011 at 4:58 AM  

Thanks for some quality points there. I am kind of new to online , so I printed this off to put in my file, any better way to go about keeping track of it then printing?

Teknik Mencari Wang Percuma Di Internet.
Muat turun laporannya secara PERCUMA di sini !!

Pertanyaan




Form View Counter

About This Blog

Blog ini adalah milik Cikgu Esa Abd Samad. Blog mencatatkan aktiviti Cikgu Esa sebagai seorang kaunselor dan perunding motivasi.


Artikel Terkini

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP