BERJUANG PANTANG MENYERAH
>> Thursday, March 3, 2011
APABILA saya berpeluang menerjah masuk ke kelas-kelas yang diistilahkan oleh guru-guru sebagai kelas belakang, sama ada di sekolah saya mengajar sekarang, SMK Subang Bestari, mahupun sekolah-sekolah lain, bagaikan satu fenomena sama berlaku. Fenomena itu ialah ketidakyakinan pelajar-pelajar ini untuk meraih pencapaian akademik yang cemerlang.
Mereka bagaikan tergelak sendirian apabila ditanya; "siapa antara kamu yang hendak meraih 8 A dalam PMR tahun ini?," "Siapa berazam hendak mendapat 12 1 A dalam SPM?" dan sebagainya. Pengalaman lalu membuatkan pelajar-pelajar ini berasa tawar hati untuk memahatkan azam untuk mengejar kecemerlangan.
Saya masih ingat, suatu ketika dahulu apabila berpeluang masuk ke kelas yang diistilahkan kelas belakang ini, iaitu Tingkatan 4 Khas namanya; apabila masuk ke kelas itu, saya memberitahu pelajar-pelajar; kamu semua adalah pelajar hebat, pelajar pandai. Seorang pelajar di kelas itu bangun dan memberitahu; "cikgu..kamu tipulah! Kami mana ada pandai, kami bodoh!" Saya bertanya mereka bagaimana mereka tahu mereka bodoh? Mereka spontan menjawab, "semua cikgu kata kamini bodoh!"
Kita menjadi mangsa pelabelan orang lain. Kita membenarkan diri kita jadi bodoh hanya kerana orang lain kata kita bodoh. Kita membenarkan diri kita jadi bodoh hanya kerana pengalaman lalu yang seolah-olah membuktikan kita ini bodoh. Saya beritahu pelajar bahawa semua pelajar berhak untuk menjadi pandai, boleh jadi pelajar cemerlang; melainkan mereka mengalami masalah kerencatan mental (mental retardation), kecelaruan mental atau masalah pembelajaran (learning disorder). Misalnya, jika pelajar itu sampai Tingkatan 5pun masih belum boleh membaca atau mengira peringkat asas, mungkin mereka mengalami masalah pembelajaran. Malah pelajar yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) selain masalah pembelajaran, ramai yang berjaya. Ini termasuk orang yang menghadapi masalah pendengaran, penglihatan, lumpuh seluruh badan, bisu dan sebagainya. Anda baca sahaja keputusan peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM di dada-dada akhbar, pasti ada menyiarkan kejayaan OKU.
Jadi, apakah punca pelajar gagal dalam peperiksaan? Apakah punca pelajar kurang bermotivasi? Jawabannya ialah kerana anda menyerah sebelum berjuang. Anda sudahpun mengaku kalah sebelum ditewaskan. Bagaikan panglima di medan perang, belumpun mengangkat senjata, sudah mengaku tewas. Jika ini sikap anda, malulah sikit dengan kisah Zebra yang dipertontonkan dalam video klip di atas. Malulah mengaku kalah sebelum berjuang.
Ramai pelajar yang berjaya biarpun mereka asalnya tidak berjaya di peringkat akar umbi. Misalnya di peringkat PMR, pencapaian separuh makan tetapi mereka berjaya menjulang kejayaan di peringkat SPM. Pencapaian SPM tidak seberapa tetapi berjaya ke peringkat universiti. Contohnya Najmil Faiz (gambar di bawah). Dia dikategorikan sebagai "gagal" di tahap SPM, namun berkat usaha gigihnya Najmil berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke tahap PhD malah terpilih membentangkan kajiannya tentang teknologi nano di Parlimen British; perlu diingat pensyarah dan profesor yang ada di Malaysiapun tidak ramai sampai ke tahap ini-berpeluang membentangkan kajian di parlimen negara maju! Jadi kini terpulang kepada anda...mahu jadi lebih teruk daripada Zebra yang pantang menyerah dan Najmil atau membiarkan diri menyerah dahulu sebelum terus kalah?
Najmil Faiz - Ikon "Melayu Boleh."
0 comments:
Post a Comment