KISAH SIBURUNG PIPIT
>> Tuesday, March 1, 2011
DALAM menunaikan amanah sebagai seorang guru, kaunselor, motivator dan penulis, ada kala saya terusik apabila ceramah yang disampaikan, bengkel yang diadakan, sesi yang dikendalikan, tulisan yang dilontarkan tidak mendapat sambutan daripada khalayak; sekecil-kecilnya seorang individu, dalam kaunseling individu hinggalah kelompok massa iaitu pembaca buku atau pendengar ceramah dalam dewan besar. Apatah lagi apabila orang yang berkuasa menegur...seolah-olah apa yang dijalankan tidak berkesan!
Sesungguhnya bagi saya yang terpenting dalam hidup, kita hendaklah menunaikan amanah yang diberikan Allah sebaik mungkin tanpa banyak soal. Soal sama ada perkara yang disampaikan itu berkesan di hati orang yang kita sampaikan adalah urusan Allah kerana itu terpulang kepada hati sipenerima. Mungkin kita boleh memperbaiki cara penyampaian tetapi kesudahannya masih terpulang kepada sipenerima.
Dalam menunaikan amanah ini, teringat saya akan kisah yang disampaikan dalam sebuah tazkirah seorang ustaz di masjid. Kisah burung pipit pada zaman nabi Ibrahim. Ketika nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup (dalam keadaan sebenarnya baginda tidak terbakar), oleh Namrud yang kejam, datang seekor burung pipit membawakan air dengan menggunakan paruhnya lalu memadamkan api yang sedang marak menyala itu.
Tindakannya itu disindir oleh rakan taulannya dengan mengatakan usahanya itu tidak mendatangkan apa-apa hasil. Lalu disambut oleh sang pipit, mungkin tiada hasil yang memberangsangkan, namun sekurang-kurangnya dia dapat menjawab di sisi Allah nanti apakah yang dilakukannya ketika kekasih Allah iaitu Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup. Sekurang-kurangnya beban amanah terpikul terlepas sudah.
Begitulah diri yang kerdil ini akan terus menyampaikan ilmu yang diamanahkan Allah selagi terdaya oleh diri. Biarpun ada yang memperlekeh, enggan menyahut pelawaan, enggan berubah...namun itu bukan lagi urusan diri ini. Itu adalah antara diri mereka dengan Allah s.w.t.
Yang penting....agi idup agi ngelaban. Renung-renungkan dan selamat beramal.
0 comments:
Post a Comment